KUALA LUMPUR 3 Julai – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menyokong sepenuhnya langkah kerajaan Pakatan Harapan mewujudkan semula Kementerian Pembangunan Usahawan yang sekian lama hilang sejak pentadbiran negara diambil alih oleh Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun 2009.

Timbalan Presiden DPMM, Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee berkata, DPMM sejak itu telah beberapa kali melalui seminar dan kongres yang dianjurkan mendesak kerajaan mewujudkan semula kementerian tersebut bagi memperkasakan ushawan bumiputera yang masih lagi ketinggalan di dalam dunia perniagaan.
“Saya percaya seluruh warga usahawan bumiputera menyambut baik pelantikan menterinya yang baharu Mohd Redzuan Md Yusof yang lebih mesra dipanggil Pak Wan bagi mengemudi kementerian ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Mengenali beliau secara dekat, kata Syed Hussien, beliau penuh percaya dengan berlatar belakang pengalaman dunia korporat khususnya bidang minyak dan gas beliau mampu memperkasakan usahawan bumiputera di negara ini. – UTUSAN ONLINE










