Dipercayai menghidap kanser usus tahap empat: Keadaan kesihatan ADUN Seri Setia tidak kritikal - Utusan Malaysia

Dipercayai menghidap kanser usus tahap empat: Keadaan kesihatan ADUN Seri Setia tidak kritikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 31 Julai – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Prof. Dr. Shaharuddin Badaruddin dilaporkan berada dalam keadaan baik selepas menjalani rawatan di sebuah hospital di ibu kota akibat menghidap kanser usus.

Perkara itu disahkan Setiausaha Kanannya, Zafrullah Aris menerusi satu kenyataan hari ini sekaligus menafikan laporan media semalam kononnya Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Negeri itu berada dalam keadaan kritikal serta ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU). 

“Untuk makluman, beliau (Dr. Shaharuddin) kini sedang berehat setelah menjalani rawatan. Mengikut nasihat doktor, beliau akan bercuti dan berehat selama sebulan dan perkara itu telah pun dimaklumkan kepada Menteri Besar, Amirudin Shari. 

“Oleh itu, pihak keluarga beliau berharap agar pihak media dan orang ramai menghentikan spekulasi serta khabar angin mengenai keadaan kesihatan Dr. Shaharuddin. Sebaliknya semua pihak diminta memberikan ruang kepada beliau untuk berehat,” katanya. 

Semalam, media tempatan melaporkan Dr. Shaharuddin yang juga Naib Presiden PKR itu berada dalam keadaan kritikal dan ditempatkan di ICU dipercayai menghidap kanser usus tahap empat. 

Pada 14 Mei lalu, Dr. Shaharuddin dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) selepas memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia pada Pilihan Raya Umum Ke-14. 

Beliau memenangi kerusi DUN itu dengan majoriti 19,372 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Yusoff HM Haniff; Mohd. Ghazali Daud (Pas) serta calon Bebas, S. Vigneswaran. – UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN