TOKYO 12 Julai – Cuaca panas terik dan kekurangan bekalan air hari ini mencetuskan kebimbangan berlakunya penularan wabak di kawasan barat Jepun yang terjejas teruk akibat banjir, ketika angka korban hampir 200 orang.
Bencana banjir kali ini disifatkan terburuk dalam tempoh 36 tahun.
Lebih 200,000 isi rumah terputus bekalan air selama seminggu selepas hujan lebat menyebabkan berlaku banjir dan tanah runtuh di seluruh barat Jepun memusnahkan komuniti yang dibina di lereng bukit dan lembah sejak berdekad lalu.
Kerajaan dalam kenyataannya berkata, jumlah kematian meningkat kepada 195 orang dengan berpuluh-puluh lagi masih hilang.
Suhu harian melebihi 30 Celcius dan tahap kelembapan yang tinggi, kehidupan mangsa banjir yang tinggal berselerakan di gimnasium sekolah dan pusat pemindahan lain, menjejaskan kehidupan mereka.
Dengan terdapat hawa beberapa buah kipas mudah alih di pusat pemindahan itu, kebanyakan mangsa banjir cuba menyejukkan diri mereka dengan kipas kertas.
Pihak berkuasa berkata, dengan bekalan air yang terhad, penduduk tidak mendapat cukup air dalam badan mereka, sekali gus berdepan dengan bahaya terdedah kepada haba panas.
Penduduk juga enggan menggunakan air yang ada untuk mencuci tangan bimbang penularan wabak.
“Tanpa air, kita tidak boleh membersihkan apa-apa. Kita tidak boleh mencuci apa-apa,” kata seorang lelaki kepada televisyen NHK.
Kerajaan telah menghantar trak air ke kawasan bencana tetapi bekalan itu kekal terhad.
Lebih 70,000 tentera, polis dan bomba bekerja keras mencari mangsa hilang di sebalik sisa runtuhan.
Beberapa pasukan menyelamat menyodok sisa dan kotoran ke dalam guni sebelum dimasukkan ke dalam trak dengan pasukan lain menggunakan cangkul dan gergaji untuk melakukan pencarian itu.
Kebanyakan kawasan teruk tertimbus dengan lumpur yang mengeluarkan bau seperti bahan kumbahan dan menjadi kering akibat cuaca panas sekali gus menyukarkan usaha menyelamat.
Bencana akibat hujan lebat kerap berlaku di Jepun mungkin kerana pemanasan global dengan beratus penduduk terkorban selepas hujan lebat serupa menyebabkan berlaku banjir dalam tempoh yang sama tahun lalu.
“Ini adalah fakta yang tidak dinafikan bahawa bencana akibat hujan lebat, kadar taburan hujan melebihi sebelum ini menjadi semakin kerap sejak kebelakangan ini.– REUTERS










