Digelar ‘anjing’: FAM hantar bantahan rasmi kepada AFF, AFC - Utusan Malaysia

Digelar ‘anjing’: FAM hantar bantahan rasmi kepada AFF, AFC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 31 Julai – Terasa dihina, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat keputusan menghantar surat bantahan kepada Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berhubung tindakan penyokong Indonesia yang melaungkan ‘Malaysia itu anjing’ sewaktu perlawanan pertama skuad B-16 negara dalam aksi Kejuaraan B-16 AFF 2018 di Surabaya, Indonesia, malam tadi.

Ketika kejadian, skuad belia negara kendalian Raja Azlan Shah Raja So’ib itu sedang dalam aksi menentang Thailand di Stadium Gelora Joko Samudro, Gresik, Surabaya dan kedengaran penyokong Indonesia menyanyikan chant yang dianggap menghina nama baik Malaysia itu.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, FAM berpendapat tindakan penyokong tuan rumah berkenaan amat melampau malah percaya mantan Presiden badan induk itu, Tunku Ismail Sultan Ibrahim juga merasakan ia satu penghinaan besar terhadap nama negara Malaysia.

“Justeru tindakan menghantar surat bantahan kepada AFF dan AFC ini kita lakukan dengan segera supaya dua pihak berkenaan dapat mengambil tindakan sewajarnya agar perkara sama tidak berulang apabila skuad B-16 turun pada perlawanan kedua Kumpulan B di stadium sama bertemu Brunei, Jumaat ini.

“Jika didapati tuan rumah dan penganjur sekadar mengambil ringan berhubung isu ini, FAM tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan yang lebih drastik selepas ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sewaktu perlawanan tersebut, skuad B-16 negara tewas 2-1 kepada Thailand dalam aksi pertama Kumpulan B dan selepas ini akan bertemu Brunei pada 3 Ogos ini.

Dalam pada itu, Stuart turut memberitahu bahawa FAM akan mengambil beberapa langkah memastikan kawalan keselamatan skuad B-16 lebih terjamin selepas ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN