PADA usia 49 tahun, tiada apa lagi yang ingin dikejarkan Datuk Ahmad Azhar Othman atau Awie dalam kehidupannya yang kini sudah sempurna dikelilingi kasih sayang daripada isteri dan anak-anak tercinta. Mereka adalah tulang belakang dan nadi kekuatannya untuk terus bahagia dalam kehidupan.
Biarpun perihal membabitkan kisah perkahwinannya dengan bekas isteri, Rozana Misbun itu belum menemui titik noktah, penyanyi lagu Duniawi ini enggan terlalu memikirkan. Sebaliknya dia percaya setiap yang berlaku itu adalah peringatan untuk menjadi lebih baik pada masa depan.
“Selepas apa yang terjadi, saya tukar cara kehidupan sedikit demi sedikit. Saya mencari ketenangan diri, buang rasa sombong dan mendekatkan diri pada Pencipta. Saya juga memperbanyakkan masa bersama keluarga kerana di situlah tempat mujarab mencari ketenangan jiwa.
“Kami melakukan pelbagai aktiviti bersama, main muzik, memasak dan buat apa saja. Mereka adalah ‘pil’ paling mujarab untuk menenangkan gelisah dalam jiwa,” kata Awie berhubung kaedah terbaik untuk mengubati rasa aib dalam dirinya selepas kisah perkahwinannya itu didedahkan kepada umum.
Puteri Aleeya Antasha, 18, dan Puteri Aleefa Antasha, 16, anak-anak daripada perkahwinan pertama Awie bersama Arni Nazira berada di bawah jagaan penyanyi itu, selain Putra Ahmad Merrah, 11, menerusi perkahwinan keduanya.
Dua lagi anaknya, Putra Ahmad Rezzki, 10, dan Puteri Qasseh Antasha, 8, kini berada dalam jagaan Rozana. Awie berkahwin buat kali ketiga dengan Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin pada 2016.
“Walaupun Rezzki dan Qasseh tak ada di sisi, tapi ingatan dan kerinduan saya tidak pernah pudar barang sesaat. Mereka tetap ‘hidup’ dalam diri saya,” ujar Awie yang turut menyatakan kerinduan selepas tidak bertemu hampir empat tahun dengan dua anak kesayangan usai perceraiannya dengan Rozana pada tahun 2014.
Husin dan Hantu Kak Limah
MENUMPANG rezeki anak-anak, perjalanan kerjaya lakonan Awie berlangsung dengan jayanya apabila terbabit dengan naskhah trilogi Kampung Pisang, Hantu Kak Limah di bawah arahan Mamat Khalid. Filem terbitan Infinitus Gold dengan kerjasama Astro Shaw itu bakal berada di pasaran pada 9 Ogos ini.
Mengekalkan watak Husin yang sinonim dengannya, Awie menjadi tunggak utama dalam filem yang turut menampilkan lakonan hebat daripada Delimawati, Sabri Yunus, Zul Ariffin, Ropie Cecupak, Mus May, Pekin Ibrahim, Uqasha Senrose dan Jue Aziz. Erra Fazira dan Datuk Seri Via turut menjadi bintang jemputan.
“Satu penghormatan yang besar buat saya apabila masih dipilih menjadi peneraju dalam filem pecah panggung ini. Saya tak nak berjanji apa-apa tentang filem ini tapi yang pasti akan ada banyak dialog yang diingati seperti sebelumnya.
“Gabungan daripada pelakon lama dan baharu menjadi intipati penguat kepada keseluruhan jalan cerita Hantu Kak Limah. Kalau dulu, Kak Limah belum berkahwin kini dia sudah bertukar status isteri kepada Khuda. Macam-macam yang berlaku selepas itu,” katanya.
Hantu Kak Limah mengisahkan tentang misteri kematian Kak Limah selepas berkahwin dengan lelaki yang jauh lebih muda daripadanya. Berita tersebut mencetuskan kekecohan dalam kalangan pendudukan Kampung Pisang apabila diganggu hantu Kak Limah selepas itu. Mereka kemudiannya meminta bantuan Encik Solihin yang merupakan guru silat untuk memburu Kak Limah selepas itu.











