Lebih 14,000 peminat hadir menyaksikan persembahan Konsert Wali Band Live di Educity Sports Complex, Johor Bahru yang berlangsung hampir tiga jam dalam suasana penuh meriah dan nostalgia.
Wali Band tampil bertenaga dengan mempersembahkan lagu popular seperti Cari Berkah, Si Udin Bertanya, Kekasih Halal, Emang Dasar dan Abatasa, selain berinteraksi bersama peminat sepanjang perssembahan.
Sebelum kemunculan Wali Band, konsert ini membuka tirai dengan penyanyi kelahiran Batu Pahat, Najwa Latif dengan tujuh lagu popular termasuk Adamu, Carta Hati dan Cinta Muka Buku, sekali gus menghidupkan suasana dan mengembalikan nostalgia peminat.

Konsert turut menampilkan sisi religi Wali Band apabila mereka menitipkan doa buat penonton serta mempersembahkan beberapa lagu secara akustik antaranya, Doa Untukmu Sayang, Baik-Baik Sayang dan Harga Diriku.
Kejutan istimewa hadir apabila Najwa Latif kembali ke pentas untuk bergabung bersama Wali Band menerusi lagu Yank, sebelum kemeriahan diteruskan dengan Aku Bukan Bang Toyib.
Sebagai penutup, Cari Jodoh menyatukan kira-kira 14,000 suara yang menyanyi dan bergoyang bersama dan mengakhiri konsert dengan suasana penuh nostalgia dan kegembiraan buat para peminat.











