MENELUSURI perjalanan hidup seorang penulis kelahiran Negeri Jelapang Padi yang terlantar sakit adalah sesuatu yang tidak mungkin dapat digambarkan dengan penuh kesyahduan, apatah lagi untuk dikenang dan dijadikan sebagai pedoman dalam meniti kehidupan ini.
Kesakitan yang terpaksa dihadapi penulis berkenaan adalah sesuatu yang harus dilalui bersama kesabaran dan ketabahan yang secara tidak langsung membuktikan bahawa kesakitan itu adalah penawar yang mujarab pada setiap ujian yang diberikan oleh Allah Yang Maha Esa.
Sebagai seorang penulis sastera, Ahmad J Husein, 66 tahun atau nama sebenarnya, Ahmad Husin kini terlantar di sebuah pusat jagaan di Pulau Pinang kerana masalah lumpuh dan memerlukan pembelaan yang sewajarnya daripada pelbagai pihak. Beliau lumpuh akibat terjatuh ketika mengambil wuduk di Masjid Kampung Kembai, Parit Panjang, Baling, Kedah sewaktu tinggal bersama kakaknya, Siti Aminah Husin, 71 tahun.
Melihat penderitaan yang terpaksa dihadapi Ahmad yang berasal dari Kampung Surau Bakai, Kuala Ketil, Kedah membuatkan hati dan perasaan ini terasa penuh kesyahduan apabila terpandang wajah dan susuk tubuhnya yang kurus itu.
Bagi diri ini, kesabaran dan ketabahan yang terpaksa dilalui beliau membuatkan diri ini untuk mengenang kembali jasa dan pengorbanan beliau dalam dunia Kesusasteraan Melayu.
Sebagai seorang penulis, saya merasakan bahawa jasa dan pengorbanan yang diberikan oleh setiap penulis, terutama penulis veteran yang terlantar sakit perlulah diberikan perhatian yang sewajarnya kerana setiap pengorbanan yang dicurahkan mereka dalam dunia sastera adalah sesuatu yang amat bernilai harganya.
Ahmad J Husein yang merupakan seorang penulis kelahiran Kedah dan Ahli Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (Asasi) mempunyai kekuatan dalam dunia penulisan kreatif terutama genre cerpen kerana beliau adalah seorang penulis yang memiliki gaya tersendiri dalam penulisannya.
Tema yang cuba digarap oleh Ahmad sebagai seorang penulis yang ‘berjiwa rakyat’ adalah menyentuh tentang persoalan masyarakat kampung, fahaman politik yang lapuk dan merugikan, selain memaparkan tentang kehidupan rakyat bawahan di desa terpencil Bakai, Kuala Ketil dan Baling.
Sehingga kini, Ahmad menghasilkan lebih 100 cerpen yang terkumpul dalam kumpulan cerpen perseorangan seperti Terbalik, Perjalanan Terakhir, Tiada Rahsia Lagi, Noktah Sebuah Perjalanan, Ketika Hujan Renyai-Renyai dan Mimpi Yang Bertaburan.
Melihat pada penderitaan yang terpaksa dihadapi Ahmad, menginsafkan diri ini untuk lebih bersyukur atas nikmat pemberian Allah Yang Maha Esa kerana memanjangkan umur untuk hidup di dunia ini dengan penuh kerendahan diri.
Tiada sesiapa yang mahu dilahirkan cacat anggota dan tiada sesiapa yang mahu menderita, tetapi setiap dugaan dan cabaran yang datang itu perlulah disambut dengan penuh keikhlasan dan kejujuran agar setiap kesakitan yang ditempuhi itu mampu menjadikan kita untuk lebih bertakwa dan bertawakal kepada-Nya.
Walaupun ada genangan air mata yang turun mencucuri pipi ini, tiada istilah untuk diri ini lebih mengerti bahawa setiap dugaan dan cabaran yang terpaksa dilalui oleh Ahmad, ia tidak mematahkan semangat diri ini untuk terus menjadikan beliau sebagai ‘idola’ dalam berkarya.
Hanya linangan air mata sahaja yang dapat diberikan, walaupun di hati ini tersimpan sejuta kepasrahan sebaik sahaja diri ini memandang wajah seorang penulis yang amat dikagumi dan dihormati. Hanya pada Yang Maha Esa sahaja dapat dipanjatkan doa dan harapan agar penderitaan yang terpaksa dihadapi beliau diringankan bebanan, moga-moga kesukaran yang dilaluinya beroleh kebahagiaan yang kekal abadi.
Inilah liku-liku jalanan yang terpaksa ditempuhi Ahmad J Husein sejak membabitkan diri dalam bidang sastera sehingga beliau terlantar sakit. Bagi kita sebagai penulis, tidak pernah sesekali merancang untuk terlantar sakit, tetapi ingatlah bahawa setiap kesakitan itu adalah penawar yang mujarab untuk diri sendiri agar kita lebih bersyukur dengan setiap pemberian-Nya.
Walaupun beliau sudah berpisah dengan isterinya, namun di hati ini turut tersentuh dengan ketabahan dan kesabaran beliau dalam menempuh liku-liku jalanan yang menjanjikan sesuatu yang terbaik buat dirinya. Bagi diri ini, hanya rasa simpati dan doa dipanjatkan agar setiap kesakitan yang terpaksa dilalui oleh beliau diringankan bebanan oleh Allah Yang Maha Esa.
Moga-moga setiap kesakitan yang dihadapinya itu mampu menjadikan beliau sebagai seorang penulis yang ‘berjiwa rakyat’ melalui karya-karya yang dihasilkannya itu. Apa yang penting, setiap kesakitan itu adalah cahaya yang indah untuk kita renungi dan hayati bersama agar apa yang kita lalui itu mampu menginsafkan diri kita untuk menjadi insan yang terbaik di dunia ini.
Bagi mereka yang bersimpati dengan penderitaan yang terpaksa dilalui beliau, bolehlah menyampaikan sumbangan melalui akaun Maybank 152031475789 (Ahmad Husein) atau menghubungi anak saudaranya, Abu Mansor Matoridi pada talian 016-4122414.










