KUALA LUMPUR 13 Julai – UMNO dan Pas mungkin perlu mempertimbangkan suara rakyat yang mahu kedua-dua parti tersebut bergabung demi kepentingan Melayu dan juga agama Islam.
Memandangkan sudah terlalu banyak isu yang berkait dengan sensitiviti orang Melayu dan Islam dimainkan, seolah-olah perlu wujud satu ‘hero’ baharu untuk menyelamatkan semula keadaan itu.
Walaupun kedua-dua parti menunjukkan kecenderungan untuk meletakkan calon masing-masing namun pepecahan undi hanya menyebabkan parti Melayu dan Islam itu sedikit sukar memenangi kerusi yang dipertandingkan berbanding jika penggabungan berlaku.
Sehubungan itu, penganalisis politik di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain berpendapat, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis adalah medan yang sesuai untuk mempraktikkannya kebersamaan politik tersebut.
“Dalam keadaan ini, perbezaan politik harus diketepikan dan sebagai pemimpin, kita perlu kembali semula kepada rakyat iaitu memperjuangkan nasib rakyat.
“Bukan bermaksud UMNO dan Pas bagai menangguk di air yang keruh untuk meraih undi melalui isu yang sedang melanda tetapi inilah masanya untuk membuktikan kemampuan Melayu dan umat Islam bersatu demi agama, bangsa dan negara,” katanya.
Mohd. Izani berkata demikian mengulas intipati mesyuarat UMNO yang turut membincangkan tentang kesediaan PAS untuk memberi laluan kepada UMNO sekiranya UMNO memutuskan untuk meletakkan calon pada PRK berkenaan.
Namun demikian, pensyarah kanan Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Muhamad Nadzri Mohamed Nor berpendapat, oleh kerana jumlah pengundi di DUN Sungai Kandis 50 peratusnya terdiri daripada kaum bukan Melayu, UMNO memang memerlukan sokongan.
“Orang bukan Melayu sudah pastinya tidak akan menyokong UMNO namun mungkin sekiranya pakatan yang bertanding itu adalah Barisan Nasional, peratusan undi tersebut masih berpeluang untuk berpihak kepada Barisan Nasional.
“Namun sehingga hari ini, orang bukan Melayu yang juga menjadi penyumbang terbesar di situ cuma melihat Pakatan Harapan sahaja yang memiliki ruang untuk mereka sama-sama mengundi.
“Walau bagaimanapun, sekiranya orang Melayu bersatu memilih parti daripada mana-mana parti yang bergabung, senarionya mungkin bertukar kerana politik ini bermain dengan angka dan perkara ini perlu mendapat penilaian strategik baik daripada UMNO itu sendiri mahu pun Pas yang sama-sama ingin mencuba nasib sekali lagi,” katanya. – UTUSAN ONLINE










