“Takkan hari ini kahwin, hari ini juga beranak.” Alasan tersebut sering digunakan oleh penyokong-penyokong Pakatan Harapan (PH) bagi mewajarkan kegagalan kepemimpinan mereka menunaikan sebahagian besar janji yang ditaburkan kepada pengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Ayat klise itu diulangi Mordi Bimol (DAP-Mas Gading) ketika mencelah perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong oleh Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) dalam sidang Dewan Rakyat, semalam.
Kepemimpinan PH yang diterajui Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sepatutnya sedar bahawa rakyat semakin resah kerana masih banyak janji yang belum ditunaikan selepas 70 hari mereka memerintah.
Daripada 10 perkara yang dijanjikan bakal ditunaikan dalam masa 100 hari, hanya dua yang dipenuhi manakala enam janji dalam proses pelaksanaan dan dua lagi janji belum dimulakan pelaksanaan.
Hakikat itu diakui sendiri oleh Dr. Mahathir yang pada masa sama menegaskan bahawa pentadbirannya lebih menumpukan usaha membaiki ‘kerosakan’ yang kononnya dilakukan oleh kerajaan terdahulu.
Setakat ini, kerajaan PH nampaknya masih gagal menangani isu-isu yang begitu dekat di hati rakyat seperti kenaikan harga barang, peningkatan kos sara hidup dan kutipan tol.
Apa yang rakyat mahu lihat adalah komitmen kerajaan PH untuk melunaskan segala janji mereka dan bukannya sekadar ‘pandai’ mencipta pelbagai alasan serta menyalahkan pentadbiran terdahulu yang diterajui oleh Barisan Nasional (BN) untuk menutup kelemahan sendiri. – UTUSAN ONLINE










