SOCHI – Croatia akhirnya menjadi pemusnah kepada mimpi indah Rusia dalam kempen Piala Dunia 2018 FIFA selepas menyingkirkan tuan rumah itu 4-3 menerusi penentuan penalti setelah terikat 2-2 sepanjang 120 minit permainan pada aksi suku akhir di Stadium Fisht, Sochi, Rusia awal pagi ini.
Danijel Subašić sekali lagi menjadi penyelamat Croatia apabila berjaya menghalang sepakan pemain Rusia, Fyodor Smolov manakala sepakan pemain yang menyamakan kedudukan buat mereka di masa tambahan, Mario Fernandes pula tersasar jauh.
Kejayaan ini sekali gus menyaksikan skuad kendalian Zlatko Dalić itu berjaya mara ke separuh akhir buat kali pertama sejak melakukannya pada edisi 1998 di mana mereka tewas kepada juara Perancis.
Kemenangan ini juga dilihat berjaya menebus semula maruah Croatia selepas gagal melepasi peringkat kumpulan pada edisi 2014 di Brazil.
Namun mereka bakal berdepan tugas sukar untuk mara ke final apabila terpaksa menentang pasukan pilihan, England di separuh akhir nanti.
Sementara bagi Rusia pula, kekalahan ini amat perit untuk ditelan selepas berjaya mengejutkan ramai pihak dengan prestasi menakjubkan dengan layak sehingga ke suku akhir.
Skuad kendalian Stanislav Cherchesov itu berhajat untuk meneruskan perjalanan indah mereka sehingga ke final, sekali gus memburu gelaran dunia pertama dalam sejarah negara mereka.
Begitupun, hajat mereka itu terhenti setakat suku akhir biarpun berjaya bangkit menyamakan kedudukan 2-2 pada masa tambahan selepas ketinggalan 1-2 ketika permainan berbaki lima minit untuk ditamatkan.
Kali terakhir Rusia layak ke separuh akhir adalah ketika mereka mendapat tempat keempat pada edisi 1966 manakala pada edisi 2014 di Brazil mereka turut gagal melepasi peringkat kumpulan.
Aksi babak pertama perlawanan penuh dramatik itu menyaksikan penguasaan seimbang di mana Rusia dan Croatia saling serang menyerang.
Namun, Rusia terlebih dahulu di depan menerusi rembatan cantik Denis Cheryshev pda minit ke-31, sekali gus menggembirakan penyokong tuan rumah.
Kedudukan itu bagaimanapun tidak kekal lama apabila Andrej Kramaric menyamakan kedudukan 1-1 menerus tandukannya lapan minit kemudian.
Babak kedua pula Rusia dan Croatia mempunyai beberapa peluang terbaik namun masing-masing gagal menambah jaringan sehingga terpaksa disambung ke masa tambahan.
Nasib Croatia dilihat lebih baik pada masa tambahan selepas mula mendahului 2-1 menerusi jaringan Damagoj Vida pada minit ke-100.
Ketika kemenangan dilihat hampir menjadi milik Croatia, muncul Mario Fernandes menyamakan kedudukan 2-2 untuk menceriakan semula penyokong tuan rumah, sekali gus memaksa perlawanan ditentukan kepada sepakan penalti. – K ONLINE










