SEJAK Zul Ariffin putus cinta dengan Zahirah MacWilson tiga bulan lalu, ada yang tanya sekarang ini dia sedang berkawan rapat dengan siapa pula ya? Maklumlah, ramai sangat peminat wanita yang suka rela menawarkan hati mereka kepada Zul, jejaka terhangat di pasaran masa kini. Bertuahnya Zul.
Akhirnya bertemu juga jawapan apabila penerbit Gayatri Su-Lin Pillai (Gaya) mengesahkan yang dia kini masih berkawan rapat dengan hero utama filem J Revolusi itu. Pasti pengesahan ini mengecewakan semua wanita yang menyimpan perasaan dengan Zul, betul tak?
Tapi jangan risau, masih ada peluang lagi untuk merebut hati Zul. Cuma soalnya di sini, Zul sudi atau tidak saja dengan tawaran cinta yang dihulurkan. Kerana dalam soal merebut hati Zul ini, Gayatri dilihat menang bergaya menakluk hati Zul. Gaya hanya satu-satunya wanita yang berjaya ‘memahami’ Zul dengan baik sejak dulu hingga sekarang.
Lagipun hubungan mereka berdua sudah terjalin sejak bertahun-tahun lamanya. Khabarnya pernah juga menjadi pasangan kekasih sebelum putus dan membuat haluan masing-masing. Jadi nak tak nak, kita perlu terima yang keserasian antara Gaya-Zul dibina dengan konkrit yang baik.
Walau dalam apa juga keadaan, mereka berdua tidak boleh dipisahkan kerana persefahaman tersebut. Ditambah pula dengan hubungan baik antara Gaya dengan keluarga terdekat Zul, secara tak langsung menipiskan peluang wanita lain untuk mendekati lebih rapat aktor berkenaan.
“Tapi dalam soal jodoh (dengan Zul), saya tak boleh cakap lebih-lebih. Saya juga tak boleh tutup mulut orang di luar apabila terus memperkatakan tentang hubungan kami. Sebaliknya lebih baik jika saya membiarkan mereka terus berteka-teki tentang apa kesudahan hubungan kami,” kata Gaya tanpa selindung.
Jadi sama ada cinta Zul dan Gaya bertaut kembali, kita tengok saja apa yang bakal berlaku nanti. Kalau jadi hubungan mereka ke peringkat lebih serius, apa salahnya sebab masing-masing solo. Tak ada apa yang boleh menghalang penyatuan mereka berdua. Lepas ini kena tanya Zul, kali ini akan jadi ke?











