IPOH 31 Julai – Sebarang anasir baharu komunis di negara ini yang cuba diketengahkan semula perlu dihentikan dan dicantas daripada terus menjadi api dalam sekam kerana boleh menggugat perpaduan kaum di negara ini.
Seorang veteran VAT 69 Komando, Asisten Superintenden Naim Abdullah berkata, anggota-anggota polis dan tentera terdahulu yang pernah bertempur bermati-matian menentang komunis, bukan mahu diagung-agungkan tetapi generasi Y termasuk ahli politik perlu menghormati perjuangan mereka.
Menurutnya, generasi sekarang ini bukannya tidak faham dari segi sejarah, tetapi mereka cuba hendak mengubah dan mahu sesuatu perkara untuk diketengahkan walaupun mereka orang yang terpelajar.
“Bukannya mereka tidak memahami negara Malaysia, perjuangan kita pada tahun 1948 ketika darurat kemudian tahun 1963 kita konfrontasi dengan Indonesia dan selepas itu sejarah komunis meletak senjata pada tahun 1989.
“Kita kena faham sehingga sekarang pihak pengganas (komunis) tidak mengatakan mereka meletak senjata dan ideologi, mereka meletak senjata sahaja namun ideologi itu masih dipegang sehingga sekarang oleh komunis,” katanya di sini hari ini.
Beliau ditemui pada majlis sambutan Hari Pahlawan 2018 peringkat negeri di Dataran Bangunan Perak Ridzuan di sini hari ini.
Naim mengulas mengenai forum bertajuk Perlukah Kita Menulis Semula Buku Sejarah? yang dianjurkan Imagined Malaysia pada Ahad lalu bagi membincangkan peranan komunis sebagai pejuang kemerdekaan dan sama ada pihak kerajaan perlu mengubah sejarah zaman darurat baru-baru ini.
Naim yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Veteran VAT69 Komando percaya jika fahaman komunis dihidupkan kembali sehingga melupakan segala jasa dan pengorbanan anggota keselamatan terdahulu, beliau tidak menolak kemungkinan peristiwa berdarah 13 Mei akan berulang kembali.
Katanya, tragedi itu boleh berulang jika ada pihak yang melupakan jasa pejuang-pejuang negara terdahulu.
“InsyaAllah saya kata 13 Mei ini akan terjadi jikalau individu dalam Malaysia, sama ada parti politik atau mereka yang tidak memikirkan jasa orang lama kerana semangat Melayu ini lain.
“Kadang-kadang saya cukup marah sebab mereka tak hormati pengorbanan orang lama untuk negara. Sanggup tinggalkan anak bini berbulan-bulan, masa itu gaji kecil, makan susah dan jiran-jiran yang tolong,” katanya. – UTUSAN ONLINE










