SHAH ALAM – Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Zawawi Ahmad Mughni membuat dua laporan polis berhubung kenyataan fitnah yang mengaitkannya dengan penyelewengan duit sekolah dan tarian gelek Tabung Harapan Malaysia di sini hari ini.
Mohd. Zawawi membuat laporan polis berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan diiringi Peguamnya Mohd. Khairul Anwar Ismail.
Menurutnya, laporan berkenaan dibuat bagi mendesak pihak berkuasa menyiasat pemilik akaun Facebook atas nama ‘Unit Media Wangsa Maju’ dan pemilik akaun Twitter ‘@MHSBI1’ yang didakwa menyebar fitnah tersebut.
“Laporan pertama saya adalah berkenaan kes video yang kononnya saya bersetuju dan menyokong tarian gelek sewaktu kutipan Tabung Harapan baru-baru ini.
“Bagi laporan kedua pula membabitkan dakwaan saya telah menyalahguna wang sewaktu bertugas di sebuah sekolah di Sungai Bertih, Klang pada tahun 1998,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis berkenaan.
Mohd. Zawawi memberitahu, penyebaran fitnah tersebut jelas satu cubaan untuk menjatuhkan reputasi beliau sebagai calon Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis menjelang hari pengundian Sabtu ini.
“Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan berhubung tarian gelek dan ia merupakan fitnah.
“Saya juga tidak mempunyai maklumat berhubung dakwaan penyelewengan tersebut kerana cerita itu timbul selepas 20 tahun saya meninggalkan sekolah berkenaan,” ujarnya.
Mohd. Zawawi berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kes tersebut kepada pihak polis serta berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan berhubung perkara itu.
PRK DUN Sungai Kandis menyaksikan pertarungan tiga penjuru antara Mohd. Zawawi menentang calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam dan calon bebas, K. Murthy.
Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafie akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu. – K! ONLINE










