SELAMAT diijabkabulkan tepat pukul 9 malam pada 21 Julai lalu, aktor Ariff Aziz, 29, menegaskan perkahwinannya dengan produser terkenal, Datuk A. Aida, 47, bukanlah berlandaskan harta sebaliknya kerana rasa cinta.
Mula mengenali antara satu sama lain kira-kira tiga tahun lalu setelah terbabit dalam sebuah drama terbitan syarikat produksi milik wanita tersebut, A. Aida Productions, sejak awal Ariff sedia maklum tentang perbezaan umur antara mereka.
Pun begitu, Ariff tidak menjangka hubungan yang bermula antara pekerja dan majikan itu memutikkan bunga cinta sehingga akhirnya menjadi taman di hati kedua-duanya.
“Saya berkelulusan dalam bidang multimedia. Selain berlakon saya juga memiliki perniagaan sendiri.
“Bukan itu sahaja, saya turut mempunyai kereta dan rumah yang dibeli hasil usaha sendiri.
“Jadi isu berkahwin kerana harta, pangkat ataupun darjat adalah tohmahan tidak berasas segelintir pihak yang tidak mengenali saya dengan lebih dekat,” tegasnya kepada Mega HITS baru-baru ini.
Dalam pada itu, Ariff atau Wan Izma Ariff Abd. Aziz turut mendedahkan, keperibadian A. Aida atau Zaidah Awang yang manja tetapi tegas menjadi tarikan untuk dia menyunting ibu tunggal beranak tiga itu sebagai isteri.
“Secara jujurnya, sepanjang tiga tahun mengenalinya, isteri saya ini cantik luar dan dalam. Sifat itulah yang membuatkan saya terpikat kepadanya,” akui Ariff yang berdarah kacukan Melayu-Pakistan itu.
Terdahulu, pada malam Sabtu lalu, majlis pernikahan pasangan tersebut disempurnakan oleh Imam 2 Masjid Darul Ehsan, Mohammad Imran Nasohah berserta mas kahwin RM300.
Aktor drama popular Isteri Untuk Diiktiraf itu juga menyerahkan wang hantaran berjumlah RM20,000 serta tiga dulang hantaran dan dibalas lima oleh pihak pengantin perempuan.
Antara barang hantaran ialah cincin jenama Cartier seberat 1.42 karat, beg tangan Hermes, jam tangan Hublot, beg bimbit jenama Louis Vuitton, minyak wangi Chanel, kuih-muih dan manisan.
Majlis yang berlangsung di sebuah hotel di ibu kota itu turut dihadiri rakan artis seperti Fasha Sandha, Aidil Aziz, Putera Amaris, Afzan Rahman, Dayang Areeda, Syazuwan Hassan, Nafiez Zaidi serta tetamu istimewa Datuk Seri Dr. Vida yang turut menaja sebiji kek setinggi tiga tingkat.
A. Aida tunai permintaan suami
Sementara itu, Datuk A. Aida yang berada di sisi Ariff ketika temu bual diadakan berjanji menunaikan permintaan suami untuk mengenakan tudung sebaik upacara ijab kabul disempurnakan.
Bagaimanapun wanita kelahiran Besut, Terengganu itu berkata, Ariff tidak pernah memaksanya untuk bertudung dan keputusan tersebut adalah atas rasa hormat terhadap pemuda berkenaan yang sudah bergelar suaminya.
“Sebelum ini, saya juga ada minta izin daripadanya untuk sesekali memakai topi seperti imej terdahulu dan dia tidak melarang. Insya-Allah, saya cuba untuk tunaikan permintaannya itu,” ujar A. Aida.
Menyifatkan lelaki pilihannya itu seorang yang mementingkan hubungan kekeluargaan, Ariff juga matang, tidak seperti usianya.
“Umur saja yang muda tetapi cara pemikirannya begitu rasional. Dia tahu membezakan antara hal peribadi dan profesional.
“Itu yang membuatkan saya yakin dia adalah imam untuk saya dan anak-anak kelak,” katanya yang pernah tiga kali gagal dalam perkahwinan sebelum ini.
Pada masa yang sama, A. Aida juga berharap agar rumah tangga yang dibina untuk kali keempat itu adalah yang terakhir dan berkekalan hingga hujung hayatnya.
“Tiada siapa yang mahu robohkan rumah tangga sendiri. Saya berdoa Ariff adalah suami saya yang terakhir hingga ke syurga.
“Kami mohon doa semua pihak untuk menjamin kebahagiaan kami,” katanya.
Sebelum ini A. Aida pernah mendirikan rumah tangga antaranya dengan penyanyi Ameng serta seorang pegawai kanan polis.
Melalui kedua-dua perkahwinan tersebut, A. Aida dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Wan Az Aleesa, 22; Wan Azevanatassha, 17; dan Muhammad Rahul, 10.










