MARANG – Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun terputus tangan kirinya hingga paras bahu akibat tersepit pada rim motosikal dalam kejadian di Kampung Binjai Bongkok, Bukit Payong di sini kelmarin.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 9.30 malam itu menyebabkan mangsa, Nur Zulaikha Khumaira Zulkifli hilang tangan kiri apabila ia gagal disambung semula serta mengalami kecederaan pada tengkuk dan tumit kaki sebelah kanan.
Dipercayai kejadian berlaku apabila baju sejuk bersaiz orang dewasa dipakai Nur Zulaikha tersangkut pada rim motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang oleh sepupunya sebelum mangsa terjatuh dan tangan kirinya tersepit.
Menurut sepupu mangsa, Noor Aina Hananie Rezali, 18, ketika kejadian dia membawa Nur Zulaikha dan adik lelaki Nur Zulaikha yang berusia dua tahun menaiki motosikal dari rumah mereka di Kampung Tebakang menuju ke rumah penghulu kampung untuk meminta cop pengesahan borang biasiswa.











