KUALA LUMPUR – Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan menafikan dakwaan seorang bekas menteri Barisan Nasional kononnya manifesto Pakatan Harapan mengenai soal bayaran balik pinjaman tabung itu dibuat tanpa memikirkan sedalam-dalamnya.
Beliau berkata, dakwaan anggota Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mengenai perkara tersebut adalah tidak benar sebaliknya manifesto itu dibuat tanpa maklumat dan data tepat yang diberikan kerajaan BN dahulu.
“Saya rasa Khairy perlu sedar bahawa semasa mereka berada dalam kerajaan mereka tidak memberikan maklumat kewangan kerajaan yang sebenar kepada kami di pihak pembangkang dan kami terpaksa menulis manifesto berdasarkan maklumat-maklumat yang sedikit.
“Bila kami masuk ke dalam kerajaan barulah kami tahu keadaan sebenar seperti kedudukan hutang negara. Sekarang dia (Khairy) mendakwa kami menulis manifesto tanpa berfikir. Bukan tanpa berfikir tapi sebenarnya tanpa data lengkap sebab mereka tidak memberikannya kepada kami,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Khairy hari ini yang dilaporkan berkata PH membuat janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 termasuk mengenai pinjaman PTPTN tanpa berfikir sedalam-dalamnya sehingga kini dilihat tidak mampu menunaikannya. – Bernama










