SHAH ALAM – Barisan Nasional (BN) Sslangor akan menggunakan pendekatan perang saraf sepanjang kempen bagi memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.
Pengerusinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu termasuk menggunakan media sosial dalam menghantar infografik berkaitan kelemahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kepada 32,000 pengundi DUN itu dua kali sehari iaitu setiap pagi dan petang.
Katanya, BN Selangor juga akan mengedar risalah kepada 12,000 penghuni rumah melibatkan kawasan Andalas, Jalan Kebun dan Kampung Jawa.
“Kita mahu ubah cara kerja kita dahulu kepada strategi yang dilihat lebih berkesan dalam memenangi hati pengundi.
“Kemenangan BN di DUN Sungai Kandis menjadi pengukur kepada kepercayaan rakyat terhadap BN secara keseluruhannya,” katanya ketika berucap pada pengenalan calon BN dan penyerahan anak angkat bahagian DUN Sungai Kandis di sini sebentar tadi.
Turut hadir adalah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan calon BN, Datuk Lokman Noor Adam.
Ismail Sabri yang merupakan Naib Presiden UMNO memberitahu, tanggungjawab tersebut akan dilakukan oleh semua jentera BN dalam PRK itu melibatkan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO. – K! ONLINE










