‘Blood moon’ pukau dunia - Utusan Malaysia

‘Blood moon’ pukau dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAIROBI 28 Julai – Fenomena bulan berdarah atau ‘blood moon’ mempesonakan pemerhati bintang dari seluruh dunia, semalam apabila bulan memasuki bayang-ba­yang Bumi bagi gerhana bulan penuh paling lama dalam abad ke-21.

Dari Tanjung Harapan ke Asia Barat dan Kremlin ke Sydney, ribuan orang menumpukan pandangan mereka ke arah bintang-bintang bagi melihat bulan yang bertukar gelap sebelum berubah menjadi oren, coklat dan kemerahan.

Agensi Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik (NASA) memaklumkan, gerhana bulan itu berlanjutan selama sejam 42 minit dan 57 saat walaupun fenome­na itu bermula dengan gerhana separa menjadikan bulan ‘menghabiskan masa’ hampir empat jam dalam bayangan umbra Bumi.

Gerhana bulan penuh dapat disaksikan dari Eropah, Rusia, Afrika, Asia Barat dan kebanyakan bahagian Asia dan Australia walaupun awan menghalang pandangan bulan di beberapa tempat.

Fenomena itu tidak kelihatan di Amerika Utara dan sebahagian kawasan Pasifik.

Agensi berita Reuters mencatat fenomena gerhana itu dari seluruh dunia dengan mengambil gambar bulan oren dan merah dari Kahe­rah; Kuil Poseidon di Cape Sounion dekat Athens; Kampung Raisting di Jerman dan kawasan pantai Rio di Brazil serta Johannesburg.

Fenomena itu dipanggil bulan berdarah kerana cahaya matahari memancar menerusi atmosfera Bumi ‘dalam perjalanan’ ke bulan dan atmosfera Bumi menjadi merah sama se­perti ketika matahari terbenam.

“Pada masa yang sama, Marikh bergerak lebih dekat ke Bumi berbanding fenomena sama sejak 2003, menjadikan beberapa pemerhati mungkin dapat melihat sebutir bintang berwarna oren kemerahan yang sebenarnya adalah planet itu,” kata Profesor Astronomi dari University of Cambridge, Andrew Fabian.

Timbalan Pengarah Eksekutif Persatuan Astronomi Diraja, Robert­ Massey berkata, peluang menyaksikan gerhana bulan penuh dan Marikh berada dekat pada satu malam yang sama adalah sesuatu yang luar biasa.

Gerhana bulan paling lama berikutnya dijangka berlaku pada 2123. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN