AWANG lega apabila kerajaan memutuskan untuk meneruskan Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3). Jika sebelum ini projek itu dibatalkan atas faktor kos, keputusan Kabinet untuk meneruskannya amat dialu-alukan. Sistem pengangkutan rel kini semakin popular dan amat membantu penduduk di Lembah Klang.
Hakikatnya, LRT, MRT, monorel dan komuter dapat mengurangkan kesesakan serta memudahkan urusan perjalanan harian. Sistem pengangkutan ini semakin mendapat perhatian. Justeru amat perlu sistem ini diperluas dan dipertingkatkan.
Berikutan pengurangan kos, tempoh siap dilanjutkan dari 2020 kepada 2024. Begitu juga tempahan 42 set kereta api enam koc dikurangkan kepada 22 set tiga koc. Diharapkan, keputusan itu telah mengambil kira keperluan masa akan datang supaya tidak timbul kos tambahan dalam tempoh pelaksanaannya.
Bagi pengguna, apa yang penting, laluan sepanjang 37 kilometer diteruskan bagi memenuhi keperluan pengangkutan darat. Sama ada kos dikurangkan atau tidak, perkara utama adalah projek itu dilaksanakan sekarang bukannya mengambil sikap tunggu dan lihat. Mungkin jika dilewatkan, kosnya akan meningkat.
Awang berharap pengurangan kos yang turut melibatkan penangguhan pembinaan lima stesen bukanlah satu kesilapan. Maksudnya, keputusan yang dibuat telah mengambil kira keperluan penumpang dan pembangunan beberapa tahun akan datang di kawasan yang terlibat dengan laluan LRT3 ini.
AWANG – Menanti MRT ke Putrajaya.










