MISI skuad badminton negara dalam memburu gelaran juara dunia sulung bermula apabila Kejohanan Dunia yang berlangsung di Nanjing, China akan membuka tirainya hari ini.
Bagaimanapun, Datuk Lee Chong Wei yang merupakan harapan utama seluruh rakyat Malaysia untuk kejohanan itu terpaksa menarik diri selepas mengalami masalah kesihatan yang serius sehingga memerlukan beliau berehat panjang.
Justeru, skuad beregu campuran negara dilihat sebagai calon terbaik untuk merealisasikan hasrat merangkul gelaran dunia selepas menampilkan aksi memberangsangkan sepanjang tahun ini.
Jurulatih beregu campuran kebangsaan, Pang Cheh Chang mengakui ketiadaan Chong Wei pada kejohanan tahunan itu meletakkan mereka dalam keadaan tertekan kerana dianggap memiliki peluang terbaik untuk muncul juara dunia.
“Secara jujur, saya mungkin menipu sekiranya mengaku tidak tertekan apabila beregu campuran dilabelkan sebagai harapan untuk memenangi gelaran dunia. Pemain-pemain sudah pasti mengimpikan kejayaan tersebut.
“Kami sebagai jurulatih hanya boleh memberi tunjuk ajar serta membantu mereka untuk mengawal emosi ketika berada dalam gelanggang. Selebihnya, pemain-pemain itu sendiri perlu menentukan apa yang mereka mahukan,” kata Cheh Chang.
Beregu campuran No. 1 negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai pastinya turun dengan motivasi tinggi apabila masih segar dengan kejuaraan Terbuka Singapura minggu lalu selepas menewaskan pasangan No. 1 dunia dari Indonesia, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir.
Pada masa sama, Cheh Chang menggesa anak-anak buahnya supaya menampilkan aksi terbaik tidak kira siapa pun lawan bagi mengelak kekalahan mengejut kepada pemain kurang ternama.
“Jika kita bandingkan Kejohanan Dunia dengan kejohanan-kejohanan biasa, memang ada perbezaan cukup besar. Sebab itu ia sentiasa menjanjikan kejutan, jadi semua pemain perlu fokus dan bersedia,” tegasnya.
Selain Soon Huat-Shevon, Malaysia turut mempertaruhkan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing serta pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying menerusi acara beregu campuran.
Bagaimanapun, hanya Kian Meng-Pei Jing yang akan beraksi pada pusingan pertama hari ini apabila Soon Huat-Shevon dan Peng Soon-Liu Ying mendapat undian bye ke pusingan kedua.










