KUALA LUMPUR 23 Julai – Ketua kontinjen Sukan Asia, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi hanya akan mengumumkan sasaran pingat selepas mengadakan pertemuan dengan semua persatuan sukan yang terlibat ke temasya itu.
Katanya, masih terlalu awal untuk perkara itu diumumkan kerana pihaknya perlu melihat kekuatan pasukan negara secara menyeluruh sebelum memutuskan sasaran realistik.
“Saya nak jumpa dengan semua persatuan dahulu, kemudian MSN (Majlis Sukan Negara) dan ISN (Institut Sukan Negara) sebelum memutuskan mengenai sasaran.
“Sama seperti badminton, saya meminta mereka untuk tidak umumkan dahulu sasaran mereka buat masa sekarang,” katanya selepas mengadakan lawatan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini hari ini.
Mengulas mengenai pasukan badminton, Abdul Azim berkata, beliau gembira dengan prestasi semasa yang ditunjukkan mereka terutama selepas pasangan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai muncul juara di Terbuka Singapura, semalam dengan menundukkan juara dunia dari Indonesia, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir.
Katanya, skuad badminton negara juga sudah melakukan persiapan rapi termasuk penyertaan ke beberapa kejohanan merangkumi Kejohanan Dunia di Nanjing, hujung bulan ini.
“Seramai 14 atlet negara akan beraksi di Sukan Asia iaitu 10 lelaki dan empat wanita, kesemua mereka ini berada pada prestasi yang baik selain bebas daripada sebarang kecederaan,” katanya.










