CUKUP terbuka berbicara soal jodoh, penyanyi Kaka Azraff mengakui, biarpun kini bersendirian, namun seperti wanita lain, jauh di sudut hatinya dia juga menambakan kehadiran seorang lelaki untuk menjadi peneman hidup.
Yakin dengan ketentuan jodohnya, Kaka atau Nor Atiqa Noor Azraff, 29, bagaimanapun ketika ini lebih senang menggunakan waktu ‘terluang’ ini untuk memberi fokus terhadap kerjaya.
Malah tegasnya, tiada sebab untuk dia berasa terlalu tertekan dengan kehidupan solo yang dilalui ini walaupun kebanyakan rakannya sudah berumah tangga.
“Kalau ikutkan sudah hampir setahun saya tidak mempunyai kekasih. Apabila melihat kawan-kawan lain sudah berkeluarga memang terdetik juga dalam hati saya untuk mempunyai sebuah kehidupan seperti itu.
“Tetapi dalam soal ini saya sentiasa positif dan yakin dengan ketentuan Allah berhubung jodoh saya,” katanya optimis.
Bukan tiada yang mahu mendekati atau terlalu memilih lelaki untuk dijadikan pasangan hidup namun kata Kaka, tiada keserasian antara mereka.
“Dalam tempoh setahun lebih ini, memang ada lelaki yang cuba mendekati, namun belum ada yang serasi untuk dijadikan kekasih. Hanya berkawan apa salahnya.
“Memang ada waktunya kita akan rasa sunyi tanpa teman tapi mengapa perlu kita fikirkan soal itu sehingga menjadikan diri tertekan? Kerana saya percaya jodoh akan sampai pada waktu yang tepat,” katanya.
Lebarkan bakat ke Indonesia
Kaka juga baru-baru ini telah melancarkan lagu baharunya berjudul Sibuk, bekerjasama dengan Alif selaku penerbit, penulis lirik dan komposer yang dianggapnya memahami kehendaknya dalam sesebuah lagu.
“Kali pertama saya dengar lagu ini saya terus jatuh cinta dan meminta Alif merakamkannya menggunakan suara saya. Sejak dahulu lagi, saya memang selesa bekerja dengan Alif,” jelasnya.
Kaka yang sebelum ini sudah melancarkan single Terima Kasih dan Kembali memberitahu, dia juga sudah bersedia untuk menyiapkan album penuh sulungnya pada tahun ini.
“Saya sentiasa mencari kelainan dalam setiap lagu agar dapat memberi lebih pilihan buat pendengar. Menerusi lagu Sibuk ini, Alif tampilkannya dengan lirik yang ringkas dan mudah untuk diingati selain rentak yang segar dan moden,” katanya yang mengharapkan agar lagu tersebut mendapat tempat di hati pendengar.
Bakal muncul dalam filem Zharfa The Movie, ini merupakan pengalaman pertama Kaka bekerja dengan produksi luar negara. Mengakui wujud perbezaan kerja antara pihak produksi tempatan dan Indonesia, Kaka Azraff berkata, dia sangat menghargai peluang yang diberikan kepadanya itu.
“Ini adalah kali pertama saya bekerja di Indonesia. Memang sangat bersyukur dengan peluang yang diberikan terutama dapat membawakan watak utama sebagai Zharfa dalam filem tersebut.
“Sebenarnya apabila ditawarkan peranan itu beberapa bulan lalu, saya sudah jatuh cinta dengan jalan ceritanya. Namun saya akui terbit pada awalnya gementar untuk berkolaborasi dengan produksi luar.
“Ini terutama untuk memahami cara kerja mereka. Bagaimanapun saya lega kerana bukan sahaja mereka tidak membezakan saya dengan pelakon Indonesia yang lain, malah cara kerja mereka juga sangat profesional,” katanya.
Bakal ditayangkan tahun depan, Kaka sudahpun menyelesaikan penggambaran filem tersebut yang 20 peratus lokasinya dilakukan di Malaysia.
Melihat negara jiran sebagai lokasi strategik untuk melebarkan sayap, Kaka sentiasa berharap agar suatu hari nanti namanya diterima di republik tersebut.
“Memang kalau boleh saya mahu ke sana kerana lagu-lagu saya sebelum ini mendapat sambutan yang baik daripada peminat di sana. Siapa tahu jika ada rezeki saya dan filem ini diterima, saya merancang untuk membawa pula muzik saya ke sana,” jelasnya.










