KUALA LUMPUR – Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali hari ini dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO.
Mohamed Apandi adalah antara 11 nama diumumkan sebagai Ahli MT lantikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi penggal 2018-2021.
Dalam kenyataan di sini, Ahmad Zahid turut mengumumkan Tan Sri Anuar Musa dilantik sebagai Setiausaha Agung menggantikan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang diberi jawatan baharu sebagai Bendahari parti.
Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah pula dilantik sebagai Ketua Penerangan dan Datuk Mohd Sumail Reduan sebagai Setiausaha Kerja UMNO.
Turut dilantik sebagai Ahli MT UMNO, antaranya, Datuk Seri Anifah Aman, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, Datuk Johan Abdul Aziz, Datuk Azizah Mohd Dun, Datuk Abdul Rahman Mohamad dan Datuk Seri Hajiji Noor.
Bagaimanapun, dua calon presiden dalam pemilihan parti baru-baru ini, iaitu tokoh politik veteran, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, tidak tersenarai.
MT UMNO terdiri daripada 25 anggota dan 11 lantikan presiden.
Ahmad Zahid berkata lantikan tersebut termasuk pengerusi, timbalan pengerusi dan setiausaha badan perhubungan setiap negeri dibuat mengikut Fasal 9.2.8 Perlembagaan UMNO.
Beliau berkata ia merupakan langkah pertama UMNO menuju pembaharuan agar parti itu terus relevan dalam pentas politik tanah air.
Menurutnya, pemilihan semua jawatan dalam parti baru-baru ini telah mencatatkan sejarah pemilihan UMNO sejak 1987 apabila ia menunjukkan parti itu kini lebih terbuka dan demokratik serta telah melaksanakan pemilihan semua jawatan dalam parti dengan tertib dan lancar. – Bernama
Senarai Lantikan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO:
1.Datuk Norliza Abdul Rahim (Naib Ketua Wanita)
2.Shahril Sufian Hamdan (Naib Ketua Pemuda)
3.Nurul Amal Mohd Fauzi (Naib Ketua Puteri)
4.Datuk Seri Anifah Aman (Bekas Menteri Luar)
5.Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (Ahli Parlimen Pasir Salak)
6.Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib
7.Datuk Johan Abdul Aziz
8.Datuk Azizah Mohd Dun
9,Datuk Abdul Rahman Mohamad
10.Datuk Seri Hajiji Noor
11.Tan Sri Mohamed Apandi Ali (Bekas Peguam Negara)











