Bekas KPN kini jadi peguam - Utusan Malaysia

Bekas KPN kini jadi peguam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 13 Julai – Bekas Ketua Polis Negara (KPN) ke sembilan, Tan Sri Ismail Omar hari ini diterima masuk dan didaftarkan sebagai peguambela dan peguamcara dalam satu majlis di Mahkamah Tinggi di sini.

Menurut tenaga pengajarnya (Master), peguam Datuk Khairul Anwar Rahmat, Ismail, 65, seorang yang berintegriti, berdedikasi dan mempunyai komitmen yang tinggi wajar menjadi contoh kepada peguam-peguam muda.

Ditanya mengenai perancangannya selepas ini, Ismail berkata, beliau akan meneruskan perkhidmatannya kepada orang ramai.

“Jika dulu dari sudut penguatkuasaan undang-undang tetapi sekarang saya sudah diterima sebagai peguambela dan peguamcara. Saya bercadang untuk meneruskan perkhidmatan keadilan dan mungkin juga akan terlibat dalam NGO yang tiada apa-apa kepentingan semata-mata untuk manusia sejagat bagi membantu golongan yang lemah yang tiada peluang mempertahankan hak mereka,” ujar Ismail.

Pada majlis tersebut, peguam pengusul, Mat Diah Endut terlebih dahulu membacakan usul (latar belakang) pelatih dalam kamar itu sebelum Khairul menyarungkan jubah peguam kepada Ismail selaku pihak pempetisyen.

Majlis daftar rai itu berlangsung di hadapan Hakim Datuk Nordin Hassan.

Anak kelima daripada 10 beradik dan berasal dari Kedah itu juga merupakan anak bekas pegawai polis memulakan kerjaya dalam Polis diRaja Malaysis (PDRM) pada 1971 sebagai Inspektor Pelatih.

Antara kes berprofil tinggi semasa Ismail menjadi KPN adalah pencerobohan Sulu di Lahad Datu dan pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya di Morib.

Selepas menamatkan perkhidmatannya dalam PDRM pada 17 Mei 2013, Ismail dilantik menjadi Duta Besar Malaysia ke Perancis sehingga 2015.

Pempetisyen kemudiannya dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Media Prima dan anak syarikatnya, The New Straits Times Press (NSTP) pada 20 Julai 2017.

Ismail memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa pada 1992.

Hadir sama pada majlis itu, isterinya, Puan Sri Suriati Md. Sobri bersama anak dan cucu-cucunya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN