KUALA LUMPUR 31 Julai – Selepas dijatuhi hukuman atas kesalahan menipu dua bulan lalu, seorang bekas kakitangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 18 pertuduhan salah guna wang denda kes jenayah berjumlah RM61,000 yang dibayar oleh 18 individu, tiga tahun lalu.
Shahnaz Khan Kamarzaman, 37, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Azura Alwi atas kesemua pertuduhan yang didakwa dilakukan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini antara pukul 10 pagi dan 4.30 petang, antara 16 Februari 2015 dan 3 Julai 2016.
Mengikut kesemua pertuduhan, Shahnaz Khan didakwa ketika kejadian sebagai Pembantu Operasi di Unit Pendaftaran Mahkamah Sesyen dan Majistret (Jenayah) telah dengan curangnya menyalahgunakan wang tunai RM61,000 yang dibayar oleh 18 individu untuk kes tangkap tertuduh yang didakwa di mahkamah itu.
Bapa dua anak itu didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Rashid Sulaiman daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan jaminan RM70,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM dan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Peguam, P.G. Cyril dan Farhan Read yang mewakili Shahnaz Khan memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya berniaga dengan pendapatan RM1,000 hingga RM1,500 sebulan.
“Tertuduh juga perlu menanggung dua anak yang masih bersekolah dan isteri yang tidak bekerja malah harta dan akaun tertuduh juga telah dirampas dan dibekukan oleh SPRM sejak 11 Januari 2016,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM35,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan menetapkan 17 Ogos ini bagi sebutan kes untuk serahan dokumen.
Pada 8 Mei lalu, Shahnaz Khan dihukum penjara 12 bulan dan sebatan sekali oleh Mahkamah Tinggi di sini setelah didapati bersalah atas pertuduhan menipu seorang wanita untuk mempercayai bahawa dia boleh menolongnya membayar wang denda bagi kes dadah, tiga tahun lalu, namun pelaksanaan hukuman ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.










