SERDANG – Bekalan ternakan lembu, kerbau, kambing dan biri-biri untuk ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha bulan depan adalah mencukupi, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub.
Memberikan jaminan itu ekoran kebimbangan dengan langkah sekatan pengimportan Australia, Salahuddin berkata, bekalan ternakan adalah mencukupi berdasarkan bekalan lembu, kerbau, kambing dan bebiri yang telah diimport serta ternakan tempatan yang ada di seluruh negara pada masa ini.
“Jadi urusan ibadah korban boleh diteruskan seperti biasa, tak perlu bimbang mengenai bekalan lembu atau kambing terjejas,” katanya kepada pemberita selepas melawat Agri Tech (amp) Engineering Innovation (ATEI) 2018 di bahagian Kejuruteraan Pertanian di sini hari ini.
Salahuddin berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia dimaklumkan berkenaan sekatan pengimportan lembu atau kerbau dan kambing atau bebiri dari Australia untuk tempoh 7 Julai sehingga selepas Hari Raya Aidiladha berikutan isu pematuhan kepada keperluan Export Supply Chain Assurance System (ESCAS).
Menurut Salahuddin, mengambil kira keperluan masjid, surau dan rumah sembelih, dianggarkan permintaan lembu dan kerbau untuk korban sebanyak 44,673 ekor dan kambing serta bebiri pula 22,130 ekor untuk 2018. – Bernama










