PLAZA Shah Alam merupakan salah sebuah kompleks perniagaan yang menjadi tumpuan orang ramai khususnya warga Shah Alam yang majoritinya adalah bumiputera.
Dalam hal itu, selari dengan kedudukannya di tengah-tengah komuniti bumiputera, Plaza Shah Alam tampil menyediakan banyak kemudahan khususnya dari segi ruang niaga untuk golongan tersebut.
Kepada Wartawan Utusan Malaysia, ABDUL RAZAK IDRIS, Pengurus Kanan Plaza Shah Alam, AZURA MOKHTAR memperincikan hala tuju dan juga skop bagi membangunkan lebih ramai usahawan bumiputera.
UTUSAN MALAYSIA: Boleh dikongsikan data kehadiran pengunjung di plaza ini?
AZURA: Plaza Shah Alam menerima purata 9,000 hingga 10,000 pengunjung sehari. Angka pengunjung ini dapat kami anggarkan dari kemasukan pengunjung yang menggunakan kenderaan persendirian tetapi tidak termasuk pengunjung yang berjalan kaki atau yang menggunakan pengangkutan awam.
Kami menyasarkan untuk meningkatkan angka ini sebanyak 10 peratus dari angka sekarang pada tahun hadapan dengan mengambil beberapa langkah.
Satu daripadanya ialah dengan mengadakan aktiviti promosi dan sosial seperti meraikan sambutan setiap perayaan utama di negara ini dan melaksanakan aktiviti riadah seperti Zumba. Selain itu, proses penggantian peruncit dan jenama juga giat kami laksanakan untuk menjadikan Plaza Shah Alam sentiasa relevan dari segi imej.
Kini semakin banyak kompleks perniagaan yang muncul dan apakah usaha penambahbaikan bagi memastikan Plaza Shah Alam kekal mendapat tempat di hati pengunjung?
Persaingan adalah perkara biasa dan kami melihat ia sebagai pemangkin untuk terus ke hadapan dan mencari di mana kekurangan yang boleh diperbaiki.
Bagi kami inovasi produk dan mutu perkhidmatan amat penting jika ingin mengekalkan daya saingan.
Bagi maksud itu Plaza Shah Alam sentiasa melakukan proses penambahbaikan pada setiap masa. Walaupun penambahbaikan ini mungkin tidak besar berbanding pusat membeli-belah lain, tetapi strategi melakukan renovasi berperingkat dan secara ‘surgical’ ini lebih dapat memenuhi kehendak dan cita rasa setempat.
Dari segi sasaran perniagaan, untuk jangka pendek, sederhana dan panjang, apakah sasaran perolehan yang digariskan pengurusan Plaza Shah Alam?
Kami mengharapkan pusat membeli-belah ini dapat meningkat pertumbuhan sebanyak 10 peratus setiap tahun. Walaupun industri peruncitan semasa kini mengalami kadar pertumbuhan yang kurang memberangsangkan, kami optimis keadaan akan beransur pulih dalam masa yang terdekat.
Sejauh mana peranan yang dimainkan dalam membantu peniaga bumiputera?.
Komuniti peruncit dalam kalangan bumiputera masih kecil kalau dibandingkan dengan kaum lain. Penglibatan bumiputera di dalam peniagaan peruncitan masih bersifat setahun jagung.
Masih banyak yang perlu dipelajari oleh komuniti peniaga bumiputera dari segi ‘merchandising’, pemasaran, logistik, pencarian tapak dan banyak lagi.
Plaza Shah Alam dari dahulu lagi mengalakkan kemasukan komuniti peruncit bumiputera dengan penawaran lot kedai di kawasan ‘prime’ supaya peniaga bumiputera dapat menonjolkan keunikan produk dan seterusnya berupaya bersaing dari segi harga dan imej kedai mereka.
Setiap hujung minggu kami menyediakan ruang niaga tambahan di aras dua Plaza Shah Alam. Ruang niaga tambahan ini bermula hujung tahun lalu dan berlangsung setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad.
Kami mendapat maklum balas yang baik bukan sahaja daripada peniaga tetapi juga pengunjung yang merasakan aktiviti jualan ini bukan sahaja memberikan tawaran harga tetapi pilihan produk lebih menarik.
Apakah ada bentuk kerjasama tertentu dengan usahawan bumiputera memandangkan agak ramai peniaga bumiputera memilih Plaza Shah Alam sebagai destinasi perniagaan mereka?
Di Plaza Shah Alam, keutamaan kami tentu sahaja membantu semua peniaga secara saksama.
Perbincangan bersama peniaga sentiasa diadakan bagi menjamin keuntungan bersama dan dalam setiap perbincangan akan ada tindakan susulan bagi membantu peniaga-peniaga ini. Semua bergantung kepada isu yang diketengahkan dalam perniagaan mereka.
Selaku salah sebuah pemain perniagaan utama di Selangor, salah satu aspek yang sering dinilai ialah tanggungjawab sosial korporat (CSR), dalam hal ini apa bentuk CSR yang telah dan bakal dilaksanakan?
Ruang dan peluang dibuka luas untuk mana-mana organisasi luar yang mahu bekerjasama dengan Plaza Shah Alam. Sepanjang pusat beli-belah ini beroperasi kami telah bekerjasama dengan pelbagai institusi dalam industri berbeza.
Terkini kami bekerjasama dengan Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan memberi ruang pameran di sini.
Kami begitu terbuka dengan acara-acara begini kerana selain dapat membawa lebih banyak peluang perniagaan di sini, kami juga dapat sama berkongsi aktiviti komuniti dalam pelbagai sektor.










