KUALA LUMPUR – Golongan ‘mak nyah’ boleh diselamatkan daripada terus hanyut dalam pekerjaan tidak bermoral dengan membuka peluang pekerjaan lain kepada mereka, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa.
Oleh itu, majikan di negara ini perlu menerima golongan ‘mak nyah’ bekerja di mana-mana syarikat atau organisasi mereka, katanya.
Masyarakat juga perlu sedar dan menerima hakikat bahawa golongan ‘mak nyah’ juga mempunyai keperluan untuk menyara hidup dan sudah tentulah memerlukan pekerjaan.
“Kenapa saya gesa majikan, sebab saya tidak mahu golongan ini beri alasan tidak dapat tempat untuk bekerja dan seterusnya memaksa mereka memilih bekerja secara tidak bermoral. Kita mesti tahu mak nyah juga ada yang berpendidikan serta kelulusan.
“Dan tidak dinafikan ada juga yang tidak ada kelayakan seterusnya menjadi mangsa eksploitasi kegiatan tidak bermoral,” katanya kepada Bernama di lobi Parlimen, hari ini. – Bernama










