KUALA LUMPUR 24 Julai – Ketiadaan jaguh No.1 negara, Datuk Lee Chong Wei sejak beberapa hari lalu semasa sesi latihan menimbulkan pertanyaan dan ketika ini Persatuan Badminton Malaysia (BAM) juga tidak mempunyai sebarang jawapan berhubung masalah itu.
Setiausaha Agung BAM, Datuk Ng Chin Chai ketika dihubungi memberitahu, beliau juga tidak tahu mengenai perkara itu dan tidak mahu tergesa-gesa membuat sebarang kesimpulan berhubung keadaan semasa pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu.
“Saya juga baru tahu bahawa Chong Wei sudah beberapa hari tidak datang latihan dan saya akan menyiasat punca sebenar perkara ini.
“Buat masa sekarang saya tidak boleh beri sebarang ulasan atau memberikan sebarang kesimpulan mengenai perkara ini,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.
Difahamkan, bekas pemain No.1 dunia itu sedang mengalami masalah kesihatan dan berkemungkinan besar terlepas aksi Kejohanan Dunia yang akan berlangsung di Nanjing, bermula minggu hadapan.
Terdapat juga kemungkinan pemain berusia 36 tahun itu terpaksa melupakan Sukan Asia di Jakarta bermula 18 Ogos ini kerana dipercayai memerlukan rehat yang panjang untuk kembali pulih sepenuhnya.-UTUSAN ONLINE











