KUALA TERENGGANU 3 Julai -Kerajaan negeri telah menubuhkan satu pasukan pemikir bagi merencanakan usaha ke arah kewujudan semula institusi pengajian tinggi agama milik negeri menggantikan Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) yang cukup terkenal suatu ketika dahulu.
![]() |
|
SATIFUL BAHARI MAMAT
|
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, langkah awal itu bagi memastikan apa yang dijanjikan dalam manifesto Pas negeri semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 dapat diterjemahkan.
Selain itu, beliau memberitahu sidang Dewan Undangan Negeri hari ini, tinjauan telah turut dilakukan bagi mendapatkan lokasi bersesuaian bagi pembangunan projek tersebut kelak.
“Kita akan berusaha memenuhi janji dalam manifesto,” ujarnya tanpa menyebut bila kemungkinan dapat diwujud semasa menjawab soalan lisan penyokong kerajaan, Muhammad Khalil Abdul Hadi (Pas- Batu Buruk).
KUSZA, sebuah institusi pengajian tinggi yang berprestij dibubarkan pada 2006 bagi memberi laluan ke arah kewujudan Universiti Darul Iman yang kemudiannya dinamakan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dengan menawarkan pelbagai kursus pengajian.
Kerajaan negeri difahamkan turut meneliti kemungkinan memanfaatkan Taman Ilmu di Tembila Besut dengan kemudahan premis sedia ada untuk dijadikan kampus yang sekali gus dapat membantu memberi nafas baharu ke arah perkembangan taman berkenaan.
Menjawab satu soalan lain yang dikemukakan oleh wakil pembangkang, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman (BN) Seberang Takir, Satiful Bahari menafikan dakwaan bahawa kerajaan negeri membatalkan pemberian insentif kejayaan sebanyak RM500 kepada pelajar di institusi pendidikan tinggi bagi pembelian komputer riba.
Beliau mengaskan, kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu tetap meneruskan pemberian insentif itu seperti biasa.
“Selepas ini kita akan maklumkan keputusan yang melibatkan pembelian komputer riba ini. Kita tidak pernah sebut batal cuma kita buat berperingkat, kita selesaikan dahulu melibatkan pelajar yang masuk universiti,” katanya. -UTUSAN ONLINE











