Arab Saudi halang masuk tanpa permit - Utusan Malaysia

Arab Saudi halang masuk tanpa permit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEDDAH 23 Julai – Sekurang-kurangnya 72,307 orang dan 30,449 buah kenderaan dilarang memasuki Mekah sejak Jumaat lalu ketika pihak berkuasa Arab Saudi meningkatkan operasi menghalang kemasukan tidak sah jemaah tanpa permit menje­lang musim haji tidak lama lagi.

Saudi Gazette melaporkan, larangan kemasukan ke Mekah bagi individu tanpa permit bermula pada 9 Julai lalu dan akan dikuatkuasakan sehingga ber­akhirnya musim haji.

Hanya tiga kategori ekspatriat dibenarkan memasuki Mekah pada musim haji kali ini.

Mereka ialah pemegang permit haji, pemegang permit kediaman yang dikeluarkan di Mekah dan pemegang permit untuk bekerja semasa musim haji.

Emir Mekah berkata, seba­nyak 5,933 kenderaan dan 710 orang jemaah diarah berpatah balik dari pusat pemeriksaan Taneem berhampiran Masjid Aysha di Mekah.

Pusat pemeriksaan Buhaitia berhampiran Sayl di Taif pula menghalang sebanyak 626 buah kenderaan tanpa permit dan 1,202 orang daripada memasuki Mekah.

Pihak berkuasa keselamatan melakukan pemeriksaan sepanjang masa di pintu masuk di Shumaisu baru dan lama, Kakiah dan Sharayah bagi menghalang kemasukan individu tanpa permit.

Permit untuk bekerja di Mekah dan tanah suci semasa musim haji telah dikeluarkan sebelum ini.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Arab Saudi akan menyediakan perkhidmatan pra pelepasan melalui ‘Inisiatif Jalan Mekah’ kepada mana-mana negara yang berminat untuk mendapat manfaat daripada pelaksanaan langkah itu.

Program Inisiatif Jalan Mekah itu dilancarkan baru-baru ini me­libatkan jemaah dari Indonesia dan Malaysia bagi memudahkan urusan perjalanan jemaah haji.

Pengarah Urusan Pasport dan Ketua Inisiatif Jalan Mekah, Mejar Jeneral Sulaiman Abdulaziz berkata, Arab Saudi akan menyediakan perkhidmatan kepada mana-mana negara yang berminat mendapat manfaat daripada program itu.

Program itu menawarkan pra pelepasan imigresen kepada jemaah melalui pintu keluar negara masing-masing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN