APMM Tawau tumpas seludup kayu malam bernilai RM200,000 - Utusan Malaysia

APMM Tawau tumpas seludup kayu malam bernilai RM200,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU – Maritim Malaysia (APMM) Tawau mematahkan cubaan menyeludup 1,819 kayu malam bernilai lebih RM200,000 di perairan Tawau di sini semalam.

Dalam serbuan Operasi Pluto Timur pada pukul 6.45 petang itu, pasukan bot ronda APMM mengesan sebuah bot kumpit yang dalam keadaan mencurigakan sedang berlabuh di perairan terbabit.

Timbalan Pengarah (Operasi) Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Mohd. Yusri Hussin berkata, pemeriksaan terhadap bot kumpit tersebut menemui muatan kayu malam dan sembilan juragan serta awak-awak berusia antara 21 hingga 58 tahun.

“Kesemua juragan dan awak-awak tersebut gagal mempamerkan dokumen sah kebenaran membawa muatan kayu itu ke perairan negara. Seorang daripada suspek turut tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Siasatan lanjut mendapati, kesemua kayu malam berkenaan berkemungkinan diseludup dari negara jiran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Yusri berkata, bot, kayu malam dan kesemua suspek dibawa ke kawasan darat untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Kastam 1967. – Bernama 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN