APMM rampas bot dan hasil tangkapan nelayan Vietnam bernilai RM1.5 juta - Utusan Malaysia

APMM rampas bot dan hasil tangkapan nelayan Vietnam bernilai RM1.5 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu menahan sebuah bot nelayan bersama-sama 10 awak-awak dan seorang tekong warga Vietnam yang menceroboh dan menangkap ikan secara haram di perairan negeri ini semalam.

Pengarah Maritim Terengganu, Kapten Maritim Rahim Ramli berkata, bot tersebut ditahan pada kira- kira pukul 2.40 pagi di lokasi 50 batu nautika dari muara Kuala Terengganu.

Menurut beliau, mereka yang ditahan berusia antara 21 hingga 49 tahun dan dokumen pengenalan diri serta permit kerja yang dikemukakan adalah meragukan dan disyaki palsu.

“Pada mulanya anggota kami mengesan enam bot nelayan Vietnam yang sedang menangkap ikan menggunakan pukat tunda di kawasan berdekatan pelantar minyak Banang tetapi hanya satu berjaya ditangkap kerana kapal KM Gemia mengalami kerosakan enjin.

“Berlaku episod  mengejar selama sejam sebelum anggota  penguatk uasa dapat menahan mereka memandangkan suasana gelap gelita dan cuaca pula buruk dengan ombak besar.

“Namun saya ucapkan syabas kepada mereka kerana walaupun dalam keadaan aset yang serba kekurangan dan bahaya tetap menjalankan tugas dengan baik,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Jumlah rampasan iaitu lima tan hasil laut, 1,500 liter diesel, peralatan menangkap ikan serta bot dianggarkan bernilai RM1.5 juta, katanya. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN