Apa status aktiviti bauksit? - Utusan Malaysia

Apa status aktiviti bauksit?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 30 Julai – Kementerian Tenaga, Tek­nologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar digesa menyatakan pendirian berhubung status moratorium perlombongan bauksit di Felda Bukit Goh di sini khususnya, sejak ia dilaksanakan pada 15 Januari 2016.

Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd. Shahar Abdullah berkata, se­jak tempoh penggantungan operasi perlombongan berakhir 30 Jun lalu, tiada sebarang keputusan rasmi dibuat dan ia menjejaskan aktiviti peneroka serta pengusaha terlibat.

Beliau akan membangkitkan per­kara berkenaan dalam sidang Dewan Rakyat memandangkan be­­­­lum nampak kesungguhan kerajaan mencari jalan bagi menyelesaikan isu tersebut dalam masa terdekat.

“Sudah pasti perkara ini menyusahkan pemilik tanah yang terlibat dengan aktiviti perlombongan bauksit. Sekiranya arahan jelas bahawa ia diteruskan, maka mereka boleh berbincang dengan pengusaha lombong bauksit daripada tapak lombong itu terbiar.

“Kalau sudah tidak boleh dite­ruskan, lebih baik mereka mulakan proses penanaman semula kelapa sawit atau tumbuhan lain yang dapat memberikan pendapatan,” katanya selepas menghadiri Majlis Dialog Bersama Penduduk Taman Bukit Goh Perdana, Felda Bukit Goh, semalam.

Yang turut hadir dalam majlis disertai 100 penduduk itu ialah Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Bukit Goh Perdana, Abd. Latif Ab. Wahab.

Menurut Mohd.Shahar, rata-rata penduduk di Felda Bukit Goh yang terlibat dengan aktiviti perlombongan bauksit sebelum ini berharap kerajaan baharu dapat memberi penjelasan berhubung status moratorium bagi memudahkan mereka merangka penanaman semula kelapa sawit yang dijadualkan pada 2020.

Selagi tidak ada keputusan atau pendirian tegas daripada keraja­an, kata beliau, peneroka bakal ber­de­pan masalah untuk menanam semula kawasan yang terlibat dengan aktiviti perlombongan bauksit.

“Sebab itu kena ada pendirian dan keputusan muktamad berhu­bung isu ini.

“Seandainya isu ini tidak dapat diselesaikan segera, semua perancangan di Felda Bukit Goh terganggu dan akhirnya menyusahkan seramai 677 warga peneroka keseluruhannya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN