ISTANBUL 13 Julai – Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai menjalani pembedahan di bahu kanan berkait dengan kecederaan serius pada kaf rotator di Medipol Mega University Hospital di sini, semalam.
Pakar kardiologi peribadinya, Prof. Datuk Dr. Wan Azman Wan Ahmad berkata, sebelum itu Anwar telah pun menjalani pembedahan mikro bagi merawat sakit belakang yang kronik terkait kegelinciran disk.
Beliau berkata, fungsi jantung Anwar yang berada pada tahap normal tanpa mengalami penyempitan saluran koronari arteri signifikan telah membolehkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu menjalani kedua-dua pembedahan tersebut dengan lancar.
“Beliau berada dalam keadaan ceria dan beransur pulih berikutan pembedahan yang berjalan dengan lancar tanpa sebarang komplikasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Anwar turut ditemani isteri beliau, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Timbalan Perdana Menteri.
Dr. Wan Azman berkata, Anwar akan menjalani prosedur fisioterapi selepas ini dan dijangka mampu sembuh sepenuhnya daripada sakit kronik yang dialami sebelum ini.
“Beliau dan keluarga menyampaikan ucapan terima kasih kepada doktor dan perawat di Malaysia dan di sini (Istanbul) atas layanan dan rawatan yang diberikan,” kata Dr. Wan Azman lagi.










