TAWAU 24 Julai – Pucuk pimpinan UMNO digesa mengambil tindakan tegas terhadap pemimpin dan ahli parti yang bersikap ‘dua alam’ iaitu secara terang-terangan memberi sokongan kepada parti lawan walaupun masih menjadi ahli UMNO.
![]() |
|
GHAZALIE Ansing
|
Ketua Pemuda UMNO Tawau, Ghazalie Ansing berkata, tindakan tersebut bertentangan dengan Perlembagaan dan boleh menjejaskan kredibiliti UMNO dalam usaha memperbaiki imej parti serta meraih kembali sokongan rakyat.
Katanya, tindakan tersebut menunjukkan mereka langsung tiada rasa kecintaan terhadap parti walaupun Fasal 20 Perlembagaan UMNO menerangkan secara jelas bahawa setiap ahli mesti cintakan parti dan memelihara nama baik serta maruah parti.
“Ini dapat dilihat apabila segelintir ahli parti yang masih bergerak bersama dan menyokong serta mendokong parti lawan di setiap perjumpaan pemimpin atau parti lawan termasuklah ada pemimpin yang mempromosikan mereka.
“Harus diingatkan UMNO masih parti yang mempunyai kerusi terbanyak, justeru amalan sistem dua alam atau dua baju ini amatlah tidak boleh diterima kerana menjejaskan imej dan perjalanan parti dalam meraih sokongan rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ghazalie mengulas mengenai tindakan segelintir ahli dan pemimpin UMNO yang memberikan sokongan kepada parti lawan bukannya bekerja keras untuk menguatkan kembali UMNO selepas pilihan raya umum lalu.
Beliau berkata, Perlembagaan UMNO menyeru semua ahlinya supaya berdiri teguh di belakang parti ketika susah atau pun senang bukannya menunjukkan sikap tidak konsisten terhadap perjuangan parti.
“Moral kita sebagai ahli UMNO perlu dijaga dengan tidak dilihat bersekongkol bersama parti lain tanpa merujuk arahan atau hala tuju pucuk pimpinan.
“Sebagai ahli UMNO, orang UMNO dan penyokong UMNO, kita mesti beristiqamah dalam perjuangan ini dari dulu, sekarang serta selamanya demi mempertahankan tanah air tercinta,” kata beliau. – UTUSAN ONLINE












