KUALA LUMPUR 23 Julai – AirAsia menawarkan tambang promosi bermula 10 sen ke pelbagai destinasi sempena meraikan kejayaan syarikat itu muncul sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Murah Terbaik Dunia buat kali kesepuluh berturut-turut pada Anugerah Skytrax Penerbangan Dunia 2018 baru-baru ini.
Ketua Pegawai Komersial Kumpulan AirAsia, Siegtraund Teh berkata, ahli AirAsia BIG boleh menikmati tambang asas bermula daripada 10 sen sehala dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru, Penang, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Siem Reap, Phnom Penh, Krabi, Phuket dan Pontianak.
Kata beliau, bagi destinasi seperti Jeju, Chongqing, Taipei dan Perth ahli BIG boleh mendapatkan harga tambang asas bagi perjalanan sehala bermula RM100.
“Selain itu, tambang promosi bagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Bali, Xi’an, Shanghai, Seoul, Osaka, Sydney dan lain-lain destinasi berharga RM410 sehala termasuk semua. Tempahan boleh dibuat di laman web airasia.com atau menerusi aplikasi AirAsia.
“Tempah tambang terendah apabila log masuk menggunakan akaun AirAsia BIG. Tempahan dibuka sehingga 29 Julai bagi perjalanan pada 1 November hingga 13 Ogos 2019,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Teh, promosi istimewa tersebut sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada para tetamu kerana memilih AirAsia sebagai pilihan dan menjadikan syarikat itu sebagai yang terbaik di dunia.
Menurutnya, sehingga kini AirAsia telah menerbangkan lebih daripada 500 juta tetamu dan akan berusaha untuk memastikan mereka sentiasa menikmati tambang yang murah.
“Para tetamu kini boleh membeli-belah sebelum berlepas menerusi Ourshop. Layari ourshop.com untuk membuat pembelian barangan bebas cukai dan mengambilnya di lapangan terbang terpilih atau mendapatkannya semasa penerbangan.
“Dapatkan mata ganjaran AirAsia BIG setiap kali membeli dan membayar dengan mata ganjaran di airasia.com,” katanya.
Pemegang kad kredit UOB di Malaysia akan menikmati pulangan tunai bagi sajian semasa penerbangan dengan kod AK dan D7 menggunakan kad kredit.










