KUALA LUMPUR – Stesen minyak Petron bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan kesedaran jenayah dengan program Go To Safety Point (GTSP) bagi menyampaikan mesej keselamatan dan bantuan kecemasan di lebih 600 stesen minyak itu.
Semua pemilik dan pengurus stesen minyak berkenaan telah diberi latihan bantuan keselamatan dan jenayah oleh PDRM dengan menjaga keselamatan mangsa jenayah, menyediakan tempat mangsa berehat di dalam Petron, menghubungi balai polis dan hospital terdekat dan menemani mangsa sehingga polis sampai.
Menurut Ketua Jabatan Perniagaan Runcit, Petron Malaysia, Faridah Ali, stesen minyak Petron kini lebih daripada sekadar tempat untuk mengisi minyak tetapi menawarkan respons awal untuk kecemasan manakala kerjasama polis memastikan tindakan segera terhadap setiap bantuan kecemasan.
Beliau sebelum itu hadir di majlis pelancaran paparan struktur GTSP di stesen minyak Petron MRR2 Selayang yang turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Yaacob yang mewakili Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Datuk Seri Tajudin Md. Isa.
Paparan struktur karikatur yang diletakan di depan stesen minyak itu memaparkan mesej ringkas tetapi kreatif yang dapat menarik perhatian pelanggan dari semua peringkat umur bagi mempromosikan pencegahan jenayah dengan mudah.
Tambah Faridah, walau di mana sekalipun orang ramai terlibat dengan masalah jenayah seperti kes ragut, langgar lari, kemalangan jalan raya atau kejadian pecah rumah, mereka boleh segera ke stesen minyak Petron meminta bantuan.
“Pekerja stesen minyak akan segera menghubungi pihak polis terdekat untuk memaklumkan kejadian berkenaan,” jelas beliau.
Beliau menjelaskan, program GTSP ini telah diperkenalkan sejak tahun 2013 dan Petron Malaysia merupakan syarikat minyak pertama yang menyertai inisiatif GTSP bagi membolehkan masyarakat setempat mendapat bantuan polis dengan kadar segera. – K! ONLINE
Demostrasi keselamatan jenayah di stesen minyak Petron MRR2 Selayang pagi tadi.










