55 kes Love Scam berlaku di Pahang - Utusan Malaysia

55 kes Love Scam berlaku di Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 23 Julai – Bukan sahaja Macau Scam malah sindiket Love Scam juga dilihat begitu mudah memperdayakan mangsa di nege­ri ini sehingga ada yang mengalami kerugian mencecah ratusan ribu ringgit.

 

Untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini sahaja, sebanyak 55 kes dicatatkan de­ngan kerugian RM961,414 berbanding hanya 38 kes (kerugian RM1,165,493) dalam tempoh yang sama lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial nege­ri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof (gambar) berkata, jumlah kes yang dicatatkan pada tahun ini meningkat sebanyak 17 kes atau 44.74 peratus berbanding tahun lalu walaupun jumlah kerugian menurun sebanyak RM204,078 atau 17.51 peratus.

Menurutnya, daripada 55 kes yang dica­tatkan tahun ini, sebanyak 30 kes melibatkan wanita sebagai mang­sa manakala selebihnya lelaki berbanding pada tahun lalu sebanyak 23 wanita menjadi mangsa dan lelaki 15 orang.

“Kita harap orang ramai sama ada lelaki atau wanita tidak terpedaya dengan pujuk rayu sindiket Love Scam ini dan merujuk kepada pihak polis sebelum melakukan transaksi kewangan kepada orang yang dikenali melalui laman sosial Facebook,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Wazir memberitahu, seorang pembantu makmal berusia 39 tahun di Maran dekat ini menjadi mangsa terbaharu sindiket Love Scam dengan kerugian sebanyak RM131,630.

Katanya, kejadian ber­mula apabila mangsa berkenalan dengan seorang lelaki bernama Mohammed Luqman yang memperkenalkan dirinya sebagai warga Arab serta tinggal di United Kingdom (UK) pada Januari lalu melalui Facebook.

Dalam perkenalan ter­sebut, ujarnya, suspek memaklumkan hendak menghantar barangan kepada mangsa iaitu dua bentuk cincin, sepasang kasut, seutas jam tangan, iPad, komputer riba jenama Apple, tiga beg tangan, bunga ros dan sampul surat yang tidak diketahui kandu­ngannya melalui Ampthill Courier.

“Pada Februari lalu, mangsa diminta membuat pembayaran RM1,450 kepada Ampthill Courier bagi caj ke atas pakej itu yang telah sampai di Sarawak dan telah membayarnya pada 13 Februari lalu ke akaun CIMB Bank bernombor 7068518524 atas nama Norhayati Mat Saathi,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Wazir memberitahu, sejak Mac sehingga 7 Jun lalu, suspek diarahkan membuat beberapa lagi transaksi menerusi deposit tunai ke dalam beberapa akaun berlainan dengan alasan kos kese­lamatan penghantaran barangan tersebut yang kesemuanya berjumlah RM131,630.00.

“Mangsa sekali lagi diarahkan oleh suspek untuk membuat transaksi sebanyak RM6,000 bagi tempahan kenderaan van kese­lamatan dan caj-caj lain, tetapi tidak mengendahkan selepas menyedari ditipu,” katanya sambil memberitahu mangsa telah membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah Maran semalam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN