TEXAS 2 Julai – Sebuah hospital di Texas, Amerika Syarikat dilapor tidak menang tangan menyambut kelahiran bayi di premis itu apabila menerima sebanyak 48 bayi baru lahir dalam tempoh 41 jam.
Mail Online melaporkan, nurseri di Pusat Perubatan Baylor Scott and White All Saints di Forth Worth agak penuh berbanding biasa apabila ia dipenuhi dengan kemasukan bayi baru lahir pada 26 dan 28 Jun lalu.
Kakitangan tambahan terpaksa dipanggil ketika pasukan di bilik bersalin bekerja sepanjang masa untuk menyambut kelahiran 27 bayi perempuan dan 21 bayi lelaki termasuk sepasang kembar.
‘Isaiah’ menjadi nama pilihan dengan tiga daripada bayi baru lahir berkenaan diberi nama tersebut.
Walaupun Pusat Perubatan Baylor Scott and White All Saints diketahui mempunyai kadar kelahiran tinggi, kelahiran 48 bayi tersebut dianggap pelik dan luar biasa.
Berdasarkan rekod, kebanyakan bayi di Texas dilahirkan pada Julai, Ogos dan September.
“Tahniah kepada keluarga atas kelahiran anggota baharu anda!” tulis hospital itu dalam akaun Facebook mereka beserta satu klip video yang memaparkan keadaan nurseri yang penuh dengan bayi baru lahir berkenaan.
Pusat Perubatan Baylor Scott and White All Saints secara purata menerima kelahiran sebanyak 15 bayi sehari dan menyambut sebanyak hampir 5,700 bayi pada 2017 termasuk 101 set bayi kembar dua dan dua set bayi kembar tiga.
Bayi kembar dua yang dilahirkan di hospital itu adalah yang ke-41 pada tahun ini.
Ini merupakan kali kedua Pusat Perubatan Baylor Scott and White All Saints menerima kelahiran bayi baharu yang ramai selepas pihak hospital menyambut sebanyak 42 bayi dalam tempoh 48 jam pada 17 dan 19 Jun lalu.










