45 buah kereta modifikasi terpaksa ditinggalkan di balai polis - Utusan Malaysia

45 buah kereta modifikasi terpaksa ditinggalkan di balai polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Seramai 45 orang pemilik kereta yang telah dimodifikasi terpaksa merelakan jentera kesayangan mereka itu ditinggalkan di balai polis selepas ditahan dalam satu operasi oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur di beberapa lokasi awal pagi tadi.

Timbalan Ketua JSPT Kuala Lumpur Superintendan Sarifudin Mohd. Salleh berkata, semua kenderaan tersebut ditahan berikutan modifikasi yang dilakukan adalah secara keterlaluan serta tidak mematuhi spesifikasi yang dibenarkan.

“Terdapat pemilik kenderaan yang melakukan modifikasi keterlaluan seperti pengubahsuaian enjin dan bunyi sistem eksoz yang tidak mengikut spesifikasi dibenarkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kesemua 45 buah kereta yang ditahan akan dibawa ke Balai Polis Trafik Jalan Bandar bagi memberi laluan kepada anggota Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah untuk melakukan pemeriksaan pada Isnin depan (esok),” katanya ketika ditemui sebaik selesai operasi.

Difahamkan, seramai enam pegawai dan 65 anggota dari JSPT Kuala Lumpur terlibat dalam operasi selama empat jam yang bermula seawal pukul 1 pagi di Dataran Merdeka hingga Jalan Raja Laut dan Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE) menyasarkan samseng jalanan serta gejala rempit.

Menurut Sarifudin, sepanjang operasi berlangsung, sebanyak 180 buah kereta dan 235 buah motosikal telah diperiksa.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak empat buah motosikal telah ditahan kerana modifikasi tidak mematuhi spesifikasi dibenarkan manakala seramai 12 individu telah ditahan.

“Tujuh individu ditahan kerana memandu secara berbahaya di Lebuh Raya DUKE, empat ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dan seorang lagi ditahan kerana mempamerkan nombor pendaftaran palsu,” ujar beliau.

Dalam pada itu, sebanyak 186 helai saman POL 257 juga telah dikeluarkan kepada penunggang dan pemandu kenderaan.

Sementara itu, Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya ketika mengulas operasi tersebut berkata, pihaknya mengambil serius penguatkuasaan terhadap aktiviti samseng jalanan yang dijalankan di kedua-dua lokasi tersebut.

“Kami akan berusaha untuk menutup ruang kepada aktiviti sebegitu (samseng jalanan) dengan kekerapan operasi bersasar bagi menjadikan Kuala Lumpur lebih selesa dan selamat untuk semua pengguna jalan raya,” tegas beliau. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×