KUANTAN 2 Julai – Seramai 42 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang mengangkat sumpah jawatan di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Majlis mengangkat sumpah itu didahului Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebelum diikuti 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan kesemua ADUN daripada Barisan Nasional (BN), Pas serta Pakatan Harapan.
Mereka mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dilantik semula, Datuk Seri Ishak Muhamad.
Sementara itu, ADUN Jenderak, Datuk Mohamed Jaafar juga dilantik semula sebagai Timbalan Yang Dipertua DUN.
Ketika membentangkan usul pelantikan Yang Dipertua DUN, Wan Rosdy berkata, pemilihan Ishak berdasarkan pengalaman luas dan prestasi cemerlangnya sebelum ini termasuk sebagai bekas ADUN Bebar serta exco kerajaan negeri.
Usul itu disokong ADUN Lanchang, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Perladangan dan Bioteknologi negeri.
Ishak dalam ucapan penangguhannya berkata, beliau bersyukur kepada Allah SWT dan mengucapkan terima kasih kepada Wan Rosdy kerana membawa usul pelantikannya sebagai Yang Dipertua DUN Ke-14.
“Saya bukanlah yang terbaik tetapi apa yang berlaku ini atas ketentuan Ilahi yang telah merancang dan menentukan segala-galanya.
“Saya akan mempertahankan Dewan yang mulia ini. Setiap ahli Dewan boleh berbahas secara profesional dan mempamerkan kehebatan serta keperibadian mulia. Saya akan berpegang teguh kepada peraturan mesyuarat,” katanya.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), BN kekal menerajui Pahang selepas menang 25 daripada 42 kerusi DUN diikuti PKR (sembilan kerusi) dan Pas sebanyak lapan kerusi.










