40,161 balak dirampas - Utusan Malaysia

40,161 balak dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU 18 Julai – Pasukan petugas khas yang ditubuhkan kerajaan negeri bagi membanteras aktiviti pembalakan haram berjaya merampas sebanyak 40,161 balak yang ditebang tanpa permit di daerah Ranau, Sandakan, Tongod dan Kalabakan.

Kesemua balak milik beberapa syarikat yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pemimpin politik kerajaan terdahulu itu bukan sahaja ditebang tanpa permit sebaliknya sebahagiannya didapati daripada jenis kayu yang terkawal serta masih bersaiz terlalu kecil.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, laporan polis telah dibuat ke atas syarikat-syarikat pengusaha balak berkenaan untuk memastikan aktiviti haram tersebut dapat dihentikan secara keseluruhan.

Jelas beliau, pasukan khas itu yang ditubuhkan di bawah Jabatan Ketua Menteri (JKM) membuktikan komitmen kerajaan untuk menangani pembalakan haram yang telah beroperasi di Sabah sejak puluhan tahun lalu sehingga menyebabkan sumber kayu negeri terancam.

“Sebelum ini kita telah menghentikan eksport balak ke luar negara dan pasukan ini ditubuhkan untuk memastikan bahawa semua aktiviti pembalakan yang sedang dilakukan secara haram dihapuskan.

“Saya tidak dapat bayangkan berapa banyak ketirisan cukai yang telah berlaku selama puluhan tahun lalu kerana kalau dikira, setiap 8,000 batang balak yang dirampas baru-baru ini melibatkan kerugian cukai sekurang-kurangnya RM1 juta,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet negeri di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini petang ini.

Mohd. Shafie berkata, kerajaan tidak akan bertimbang rasa dengan aktiviti berkenaan, justeru pasukan petugas itu telah diarah beroperasi sepanjang masa untuk memastikan aktiviti pembalakan dapat dipantau secara berkesan.

Ketika ditanya jika ada mana-mana pemimpin politik daripada kerajaan terdahulu terlibat dengan syarikat-syarikat pengusaha balak itu, Mohd. Shafie bagaimanapun enggan mendedahkannya.

“Pembalakan ini sudah berlaku berpuluh tahun dan siapa kerajaan dulu yang meluluskannya. Bukan saya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN