SEREMBAN – Seorang lelaki warga emas menemui ajal selepas kereta dipandunya dihempap tiang elektrik dan sebatang pokok dalam kejadian ribut di Jalan Leftenan Adnan dekat Tasik Seremban di sini, malam tadi.
Dalam kejadian pukul 10.27 malam itu, mangsa, Ranandra Chaudhury, 74, yang tersepit di tempat duduk pemandu kereta jenis Perodua Myvi maut di tempat kejadian akibat parah pada kepala.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, polis menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.59 malam.
“Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban menerima panggilan kecemasan memaklumkan terdapat pokok tumbang di Jalan Leftenan Adnan dan menghempap kereta Perodua Myvi warna kelabu dipandu mangsa berusia 74 tahun.
“Kejadian itu menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. Pihak bomba telah mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kereta,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, mayat dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban untuk dibedah siasat.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Mohamad Idris berkata, seramai lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera sebaik pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 10.27 malam.
Menurutnya, kejadian malang itu dipercayai berlaku apabila sebatang pokok tumbang menghempap tiang elektrik menyebabkan ia terjatuh ke atas kereta mangsa yang melalui jalan berkenaan. K! ONLINE










