Usaha bongkar 'fail merah' masih dijalankan - Utusan Malaysia

Usaha bongkar ‘fail merah’ masih dijalankan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Pembongkaran ‘fail merah’ terbukti masih  belum berakhir apabila Menteri Kewangan, Lim Guan Eng membayangkan beberapa fail tersebut akan mendedahkan lebih banyak skandal susulan siasatan yang masih dijalankan di kementerian itu.

“Jika anda merujuk skandal yang bernilai berbilion ringgit, yang paling besar…saya rasa setakat itu sahaja.

“Bagaimanapun, siasatan ini masih lagi dijalankan. Selainnya dalam jumlah yang kecil, (mungkin) babitkan jutaan (ringgit). Kita akan menanganinya kemudian.”

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dokumen itu juga masih diteliti. Ini merupakan proses yang getir tetapi perlu dilakukan. Kita perlu menunggu dan membersihkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual eksklusif dengan Bernama yang diadakan genap sebulan berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-14 yang menyaksikan kejayaan Pakatan Harapan menawan Putrajaya.

Ditanya mengenai kemungkinan ‘fail merah’ tertentu dimusnahkan sebelum peralihan kerajaan, Guan Eng berkata : “Anda boleh memusnahkan dokumen tapi kita boleh menyusunnya (semula). Kemajuan hari ini membolehkan jejak wang sedemikian mampu dikesan. Oleh itu, adalah sukar untuk menyembunyikannya.”

Beliau berkata, sewaktu memulakan tugas sebagai Menteri Kewangan pada 22 Mei, 2018, maklumat yang dibentangkan kepadanya adalah jauh lebih buruk daripada jangkaan awal.

“Saya amat terkejut. Malah, sejak itu saya terpaksa mengharungi  ‘lautan’ dakwat merah ini,” katanya.

Pendedahan sebelum ini menunjukkan kerajaan terpaksa berusaha mendapatkan wang berjumlah RM6.9 bilion bagi membayar hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sejak April 2017.

Ini kemudiannya disusuli oleh pendedahan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini turut menggunakan wang daripada urus niaga dengan Khazanah Nasional Bhd serta hasil jualan tanah kepada Bank Negara Malaysia untuk melunaskan obligasi hutang 1MDB.

Ketika rakyat masih terkejut dengan perkembangan itu, mereka didedahkan pula dengan satu skandal saluran paip gas membabitkan RM9.41 bilion yang turut dikaitkan dengan 1MDB.

“Mereka tergamak  berbohong,” kata Guan Eng yang turut berkongsi nada kecewanya. – Bernama

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini