UMNO Perak kecewa tindakan Ahli Parlimen Bagan Serai keluar parti - Utusan Malaysia

UMNO Perak kecewa tindakan Ahli Parlimen Bagan Serai keluar parti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Kepimpinan UMNO Perak kecewa dengan tindakan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali yang mengumumkan untuk keluar daripada UMNO dan Barisan Nasional berkuat kuasa semalam.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, tindakan Noor Azmi amat mengecewakan selepas tiada sebarang perbincangan dilakukan dengan pihaknya sebelum membuat keputusan untuk keluar daripada parti tersebut.

Jelasnya, sehubungan dengan itu, keputusan yang dilakukan oleh beliau juga dianggap sebagai tindakan yang mementingkan dirinya sendiri .

“Tindakan itu amat mengecewakan kerana beliau bertanding atas tiket UMNO. Walau apa pun alasannya, beliau tidak mungkin menang atas dirinya sekiranya bertanding sebagai calon bebas sebelum ini.

“UMNO dan rakyat memberi kepercayaan pada beliau namun, hari ini beliau menggunakan pelbagai alasan untuk bertindak keluar parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis Perjumpaan Khas Bersama Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Bangunan UMNO Negeri Perak di sini hari ini.

Akhbar Kosmo! hari ini melaporkan, pengunduran Noor Azmi dari UMNO menyaksikan beliau mengisytiharkan untuk menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) termasuk Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu.

Setakat ini, Pengerusi Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) itu menjadi wakil rakyat bebas dan dijangka akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN