PUTRAJAYA – Satu senarai didakwa sebagai barisan jemaah menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH) tular di laman sosial sebaik Istana Negara mengeluarkan kenyataan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet baharu akan berlangsung 2 Julai ini.
Mengikut kenyataan pihak Istana, Pejabat Perdana Menteri telah menyerahkan senarai barisan Kabinet kerajaan baharu itu pada 20 Jun lalu untuk diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.
Senarai nama tersebut kemudian diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dan dipulangkan semula ke Pejabat Perdana Menteri pada 22 Jun lalu.
Berikutan itu, malam kelmarin mula tular 28 nama Ahli Parlimen termasuk 13 yang sudah mengangkat sumpah pada 21 Mei lalu membarisi jawatan Menteri Kabinet. Turut tersebar di laman sosial senarai nama 24 Timbalan Menteri.











