GUA MUSANG – Tujuh beranak daripada keluarga miskin di Kampung Anai, Limau Kasturi di sini bakal menyambut hari raya dalam keceriaan apabila menerima sumbangan pakaian raya daripada orang ramai.
Sumbangan pakaian raya sebanyak tiga kotak itu dihantar individu tertentu melalui Pos Laju kerana bersimpati dengan nasib hidup keluarga terbabit yang tidak mampu membeli pakaian baharu untuk lima anaknya.
Khatijah Abdullah, 36, ketika ditemui dirumahnya mengakui sudah beberapa tahun beliau tidak menyediakan pakaian baharu kepada anaknya untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri kerana miskin.
Katanya, setiap hari mereka lebih mengutamakan perbelanjaan kepada penyediaan makanan keluarga dan persekolahan empat daripada lima anak.
“Suami yang bekerja menoreh getah hanya memperoleh pendapatan RM500 sebulan dan terpaksa berjimat untuk perbelanjaan makan. Saya menerima pakaian daripada mereka yang tidak dikenali tinggal di luar Kelantan.
“Mereka bersimpati selepas terbaca kisah kemiskinan hidup keluarga kami yang terpaksa tinggal dalam rumah hampir menyembah bumi dalam akhbar baru-baru ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dua minggu lalu, akhbar ini menyiarkan kemiskinan hidup tujuh beranak itu yang terpaksa tinggal di rumah pusaka arwah bapanya yang beratap bocor dan dinding kayu reput.
Khatijah berkata, sebelum ini sudah memohon beberapa kali dari agensi kerajaan bagi pembinaan rumah bawah skim Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) namun tidak ada maklum balas.
“Saya bersyukur kerana mendapat simpati banyak pihak dan berterima kasih kepada mereka yang menghulurkan sumbangan itu.
“Sumbangan pakaian raya ini juga daripada individu dari luar Kelantan termasuklah dari Pulau Pinang,” katanya. – K! ONLINE











