SHAH ALAM – Keselamatan di kawasan perairan Laut China Selatan akan terus diperkasakan bagi memastikan kedaulatan negara terjamin daripada sebarang anasir luar.
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, perkara tersebut mendapat perhatian Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu kementeriannya mempertingkatkan kekuatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terutamanya di perairan tersebut.
“Memandangkan Laut China Selatan kini menjadi perebutan kuasa besar, Malaysia (menerusi TLDM) harus sentiasa bersiap-siaga, bukan untuk berperang tetapi sebagai kawalan untuk menjaga kedaulatan tanah air dan perairan negara yang begitu luas,” katanya ketika ditemui pemberita di Istana Bukit Kayangan di sini semalam.
Terdahulu beliau bersama Panglima Tentera Laut, Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin menghadap Sultan Sharafuddin yang merupakan Kepten Yang di-Pertua TLDM selama lebih sejam selepas memasuki Istana Bukit Kayangan kira-kira pukul 10 pagi.
Pertemuan itu merupakan kali pertama dilakukan Mohamad Sabu sejak menerajui Kementerian Pertahanan pada 21 Mei lalu.











