KOTA BHARU – Ketika orang lain sibuk berhari raya, tiga lelaki termasuk dua beradik yang diberi jolokan Kumpulan Saga Merah menggunakan peluang itu untuk melakukan kegiatan samun.
Dalam tempoh 9 jam pada malam hari raya pertama, ketiga-tiga suspek terlibat dalam enam kes samun, ragut dan curi bersenjata.
Bagaimanapun, kegiatan kesemua suspek berusia 30 hingga 33 tahun itu terkubur selepas mereka berjaya ditahan dalam tiga serbuan bermula pukul 5.40 petang kelmarin di Tumpat dan Kota Bharu.
Turut dirampas sebuah Perodua Alza, sebuah Proton Saga, sebuah motosikal Honda C70, sebilah pedang bersarung, dua buah televisyen, seutas rantai emas dan pelbagai barang lain bernilai RM80,000.
Salah sebuah televisyen yang dicuri itu merupakan milik sebuah masjid di Panji, dekat sini.










